Kaizen Group Malaysia

gst

KUALA LUMPUR: Insurans hayat diecualikan daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM).

Dalam satu kenyataan di sini, Jumaat, persatuan berkata antara produk dikecualikan GST ialah polisi seumur hidup, endowmen, anak, pendidikan dan anuiti.

Bagaimanapun, premium bagi rider bukan hayat seperti penyakit kritikal, perubatan dan kesihatan serta kemalangan diri akan tertakluk kepada GST, katanya.

LIAM berkata, rider bukan hayat didefinisikan sebagai rider yang tidak meliputi kematian semula jadi.

Sekalipun premium bagi polisi berkaitan pelaburan tidak dikenakan GST, fi dan caj terhadap polisi-polisi ini seperti fi polisi akan tertakluk kepada GST, katanya.

“Bagi polisi yang dibayar menerusi fasiliti debit, syarikat insurans akan bekerja dengan bank untuk meningkatkan had yang dibenarkan untuk meliputi GST,” katanya.

LIAM mempunyai 16 anggota iaitu 14 syarikat insurans hayat dan dua syarikat insurans semula hayat.