Kaizen Group Malaysia

Jangan ingat orang sihat, aktif lagi cergas itu tak boleh kena serangan jantung. Penyakit ini antara pembunuh senyap, jadi segeralah buat pemeriksaan menyeluruh, kalau anda ada tan-tandanya.

Wanita ini, Cik Puan Ammy antara ibu yang aktif, bersukan malah peniaga yang tak kenal erti diam. Bila mana dia tiba-tiba alami serangan jantung, panik seketika keluarganya.

Pengalaman cemas itu dicatatkan agar menjadi panduan buat pembaca Mingguan Wanita

Orang Sihat, Aktif Bersukan Boleh Kena Serangan Jantung?

Sebelum ni aku hairan dan tertanya-tanya bagaimana dan kenapa seorang yang sihat, bersukan dan aktif boleh kena serangan jantung atau heart attack tanpa ada tanda-tanda sebelum ianya menyerang sehingga membawa kepada kematian.

Tetapi selepas aku laluinya sendiri baru aku tahu ianya datang dengan secara tiba-tiba tanpa sebarang ‘hint’.

Ahad lepas, jam 5 petang, elok jer aku jalan-jalan dengan anak-anak dan suami tanpa ada rasa sakit. Galak jer shopping di kedai RM2.10 beli barang-barang plastik untuk sangkar kucing. Habis shopping segera balik rumah dan kemas dapur pula bersama anak-anak.

Tiba-tiba terasa sakit di bahagian belakang bahu (belikat) berdenyut-denyut. Aku minta tolong suami urutkan. Selesai urut aku masuk bilik untuk rehat.

Bila letak kepala di bantal tiba-tiba rasa sesak nafas dan sakit di bahagian dada kiri serta tegang di bahagian leher dan sekitar rahang.

Minta suami urut lagi.

Cuma Fikir Dah Nak Mati..

Nafas semakin pendek dan dada rasa seperti ditekan-tekan. Suami bawa pergi klinik swasta.

Setelah buat ECG, doktor meminta suami segera bawa aku ke hospital untuk mendapat rawatan lanjut kerana simptom-simptom menunjukkan aku ada masalah jantung.

Masa dalam kereta, denyutan jantung aku amat laju seolah-olah ianya akan pecah. Hanya kalimah syahadah sahaja yang keluar daripada mulut aku tanpa henti.

AKU DAH NAK MATI…” Hanya itu saja yang aku fikir.

Entah apa yang berlaku, bila mana aku sedar, aku sudah berada di hospital. Dikelilingi oleh beberapa orang doktor.

Ada yang cucuk tangan pasangkan jarum branula, ada yang tekan-tekan dada aku, ada yang gosok-gosok belakang aku dan ianya berlaku dalam masa yang amat pantas.

Jelas dipendengaranku hanya kata-kata,

Puan…terus bernafas jangan tidur…”

Puan kami nak tolong puan…”

Puan tarik nafas dalam kiraan 10 kemudian lepas…” Dan pelbagai lagi.

Selepas beberapa jarum ubat dimasukkan. Nafasku yang kencang seolah-olah sedang berlari itu mula reda. Denyutan jantung semakin perlahan dan tenang.

Doktor kata aku hampir mendapat serangan jantung dan ‘lucky’ kerana segera dibawa ke hospital untuk mendapat rawatan.

Setelah pelbagai ujian dibuat. Alhamdulillah, doktor sahkan aku sihat. Tiada tekanan darah tinggi, kolestrol terkawal dan gula dalam darah juga normal.

Ada Rahmat Di Sebalik Ujian Tuhan

Kenapa boleh dapat serangan jantung jika semuanya sihat?

Kuasa Allah SWT untuk menguji hambaNya. Tapi yang penting, aku tahu di sebalik ujian itu, ramai yang sayangkan aku.

Buat suami tercinta. Terima kasih kerana bersusah payah mendukung isterimu yang berat ni bawa masuk ke hospital tanpa mengharap bantuan kaki tangan hospital.

Terima kasih juga pada mak mertuaku, abang ipar, kakak ipar dan adik iparku sanggup datang jauh-jauh melawatku walaupun hari dah lewat malam.

Mak, ayah dan adik beradik di kampung yang tak putus berdoa untukku serta anak-anakku yang setia di sisi membantu aku uruskan rutin harian. Sayang kamu semua.

Buat kalian para pembaca, sihat tidak bermakna kita bebas daripada serangan jantung. Ianya datang secara tiba-tiba dan itulah yang paling bahaya.

Kata Doktor, Tekanan Perasaan Dan Emosi Juga Boleh Jadi Punca

Menurut doktor yang merawat aku, selain daripada penyakit darah tinggi atau kolestrol, keletihan yang keterlaluan, tekanan perasaan dan emosi juga boleh mengakibatkan serangan jantung secara tiba-tiba.

Jika ada simptom-simptom yang aku sebutkan di atas. Segeralah mendapatkan rawatan sebelum terlambat…

Mati itu pasti, tetapi selagi kita mampu berjuang untuk hidup, jangan cepat mengalah, teruskan berusaha untuk bernafas demi insan-insan yang masih memerlukan kita.

Sumber/Foto : Cik Puan Ammy