Kaizen Group Malaysia

PENGENDALI insurans hayat dan takaful mengambil langkah menyediakan perlindungan hospital dan rawatan kepada pemegang polisi serta sijil yang terjejas akibat penularan koronavirus baharu (2019-nCoV).

Langkah itu diumumkan Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dan Persatuan Takaful Malaysia dalam kenyataan bersama hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LIAM, Mark O’Dell berkata, walaupun sebahagian besar polisi dan sijil perubatan memberi pengecualian kepada penyakit berjangkit yang memerlukan kuarantin oleh undang-undang, operator memberi maklum balas terhadap keperluan segera negara.

“Pengendali insurans hayat dan takaful mengetepikan pengecualian ke atas kuarantin oleh undang-undang berikutan jumlah mereka yang dijangkiti meningkat.

“Pemegang polisi dan sijil dinasihatkan untuk menyemak dengan syarikat insurans dan pengendali takaful mereka untuk faedah dan terma serta syarat polisi insurans kesihatan dan sijil takaful mereka,” katanya.

Pemegang polisi turut dinasihatkan untuk menghubungi syarikat insurans hayat dan pengendali takaful masing-masing untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perlindungan insurans dan takaful mereka.

Ahli LIAM ialah AIA Bhd, Allianz Life Insurance Malaysia Bhd, AmMetLife Insurance Bhd, AXA AFFIN Life Insurance Bhd, Etiqa Life Insurance Bhd, Gibraltar BSN Life Bhd, Great Eastern Life Assurance (M) Bhd, Hannover Rueck SE dan Malaysian Branch.

Begitu juga Hong Leong Assurance Bhd, Manulife Insurance Bhd, Malaysian Life Reinsurance Group Bhd, MCIS Insurance Bhd, Prudential Assurance Malaysia Bhd, Sun Life Malaysia Assurance Bhd, Tokio Marine Life Insurance Malaysia Bhd dan Zurich Life Insurance Malaysia Bhd.

Keterangan lanjut boleh diperoleh di www.liam.org.my dan www.malaysiantakaful.com.my atau Facebook (FB) LIAM – Insurans Hayat Cares.