Kaizen Group Malaysia

Kuala Lumpur: Kesedaran masyarakat khususnya dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah terhadap perlindungan takaful atau insurans hayat masih terlalu kurang dengan kadar penembusan segmen itu membabitkan kumpulan terbabit mencecah empat peratus saja.

Presiden Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Loh Guat Lan berkata, sepanjang lima tahun kebelakangan ini, kadar penembusan insurans hayat di Malaysia berada pada paras sekitar 54 peratus.

Katanya, angka itu bagaimanapun merosot kepada 41 peratus selepas pelupusan dibuat susulan mengambil kira pemilikan beberapa polisi oleh setiap populasi yang dilindungi.

“Realitinya, lebih 90 peratus daripada keseluruhan 41 peratus populasi yang dilindungi ini tidak mempunyai perlindungan secukupnya untuk diri dan keluarga mereka.

“Lebih membimbangkan, daripada jumlah itu, hanya empat peratus isi rumah dari kumpulan berpendapatan rendah mempunyai perlindungan (takaful atau insurans hayat),” katanya pada Majlis Pelancaran #BUKANEXTRA di sini, semalam.

Hadir sama , Ketua Pegawai Eksekutif LIAM, Mark S O’Dell, Naib Presiden LIAM, Rangam Bir dan Pengerusi Jawatankuasa Promosi Industri LIAM, Ramzi Toubassy.

Menurutnya, ketika ini, wujud ruang jumlah perlindungan yang agak ketara dari segi keperluan sepatutnya berbanding pemilikan sedia ada oleh rata-rata pemegang polisi.

“Tahun lalu, purata jumlah perlindungan untuk setiap pemegang polisi bagi kategori polisi individu menjangkau RM130,000 saja yang bermakna ini jumlah perlindungan yang akan mereka miliki sekiranya berlaku insiden kematian membabitkan ketua atau ahli keluarga yang menyara.

“Ini berbeza jika dibandingkan dengan kajian bersama oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan LIAM pada 2013 yang menjangkakan sekurang-kurangnya RM550,000 diperlukan oleh lima sekeluarga untuk menampung kehidupan mereka bagi tempoh lima tahun selepas kehilangan ketua (atau ahli) keluarga yang menyara mereka sebelum itu,” katanya.

Sementara itu, program #BUKANEXTRA itu adalah kempen kesedaran pengguna yang menyasar untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan perlindungan insurans nyawa.

Menggunakan media sosial sebagai platform utama, program berbentuk peraduan itu bermula semalam sehingga 6 Oktober depan.

“Menerusi media sosial, kami mampu untuk berkomunikasi, mendidik, berinteraksi dan menerima maklum balas secara langsung dan serta-merta apa lagi golongan muda termasuk profesional bujang dan pasangan baru berkahwin antara sasaran utama kempen ini.

“Kami mengharapkan kempen #BUKANEXTRA dapat membantu merealisasikan hasrat mencapai kadar penembusan 70 hingga 75 peratus pada tahun ini,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 7:15 AM