Kaizen Group Malaysia

Kuala Lumpur: Peratusan penduduk yang memiliki insurans hayat atau pelan takaful masih rendah dengan anggaran hanya 34 daripada 100 orang dilindungi insurans.

Ia bermakna sektor insurans hayat dijangka terus mengekalkan pertumbuhan positif pada tahun ini memandangkan peratusan penduduk yang mempunyai pelan perlindungan adalah masih rendah iaitu 54 peratus.

Presiden Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) Toi See Jong berkata, unjuran berkenaan adalah dengan mengambil kira pemegang polisi yang mempunyai lebih daripada satu polisi insurans hayat atau takaful.

“Sebagai tindak balas kepada situasi ini, Bank Negara Malaysia (BNM) bersama LIAM, Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) melancarkan skim insurans Perlindungan Tenang pada November lalu.

“Memfokus kepada tiga kriteria asas membabitkan mampu milik, senang dan mudah, ia membolehkan pemegang polisi melindungi diri sendiri dan keluarga dengan premium hanya beberapa ringgit setiap bulan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Sementara itu, bagi prestasi sektor insurans hayat pada tahun lalu, industri berkenaan meneruskan trend meningkat pada 2017 dengan menyediakan perlindungan insurans yang lebih tinggi bagi rakyat Malaysia, iaitu RM1.38 trilion berdasarkan kepada semua gabungan polisi insurans.

Menurut LIAM, angka itu adalah enam peratus lebih banyak berbanding RM1.3 trilion yang direkodkan pada 2016, mencerminkan peningkatan kesedaran oleh rakyat Malaysia mengenai kepentingan perlindungan insurans.

“Industri juga memberikan perlindungan insurans kepada 12.64 juta nyawa pada 2017, naik 0.1 peratus daripada 12.63 juta yang direkodkan pada 2016,” katanya.

Katanya, meskipun jumlah jaminan insurans per kapita naik kepada RM42,992 pada 2017 daripada RM41,055 sebelum ini, nilai itu masih jauh di bawah amaun yang diperlukan untuk menyokong anggota keluarga sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya dalam kalangan ketua keluarga.

“Industri insurans hayat turut mencatatkan peningkatan tuntutan 5.3 peratus dari tahun ke tahun kepada RM10.1 bilion daripada RM9.7 bilion, sebahagian besarnya disumbangkan peningkatan kematian dan tuntutan hilang upaya,” katanya.

Selain itu, jumlah premium untuk perniagaan baru menokok 3.8 peratus dari tahun ke tahun kepada RM10.11 trilion pada 2017 berbanding RM9.74 trilion sebelum ini.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 4:00 AM