Kaizen Group Malaysia

Kuala Lumpur : Hampir separuh daripada kematian akibat kanser di Malaysia boleh dielak jika pesakit mendapat akses kepada rawatan optimum selain penyakit dikesan pada peringkat awal, menurut satu penyelidikan.
Penyelidikan itu mendapati bilangan kematian tertinggi yang boleh dielakkan ialah kanser payu dara, iaitu kanser paling banyak dilaporkan di negara ini.

Penyelidik bersama kajian itu, Dr Lim Teck Onn berkata daripada 2,572 kematian akibat kanser payu dara, sebanyak 1,299 kes (50 peratus) boleh dielakkan.

“Daripada kematian yang boleh dielakkan, 647 mungkin boleh dicegah jika didiagnosis lebih awal manakala 652 pula berlaku akibat kekurangan akses kepada rawatan optimum,” kata Dr Lim yang juga setiausaha persatuan Together Against Cancer (TAC) dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hasil penyelidikan itu dikemukakan pada Sidang Kemuncak Onkologi Asia 2014 yang berakhir semalam di sini.

Sementara itu, pengerusi TAC yang juga survivor kanser Ranjit Kaur berkata lebih banyak usaha perlu dilakukan segera untuk membolehkan kesihatan pesakit kanser Malaysia menjadi lebih baik terutamanya pesakit miskin dan kurang bernasib baik.

Ditubuhkan pada Oktober 2013, TAC merupakan gabungan 19 badan bukan kerajaan (NGO) yang bertujuan menyediakan pelan tindakan bagi menangani kes kanser yang semakin meningkat di Malaysia. – BERNAMA