Kaizen Group Malaysia

“Saya hampir putus nyawa apabila kali pertama menerima perkhabaran doktor mengesahkan saya menghidap kanser ovari peringkat ketiga. Apa yang terbayang di fikiran ketika itu hanya kematian yang bakal menjemput.

“Hampir seminggu saya mengurung diri di rumah dan menangis sebelum mampu menerima kenyataan memilukan itu,” kata Hafizhoh Hussain, 53, penghidap kanser ovari yang kini menjalani gaya hidup sihat demi melawan penyakit dialami.

Menurut Hafizhoh yang juga Pembantu Tadbir Kewangan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (SUK), dia sedikit demi sedikit memahami mengenai kanser ovari di segi panduan, pemakanan dan rawatan diperlukan.

Katanya, dia reda dengan ketentuan Allah SWT dan menganggap penyakit itu ujian terbesar buat dirinya serta keluarga.

“Saya disahkan menghidap kanser ovari peringkat ketiga ketika berusia 49 tahun.

“Doktor pakar menasihatkan saya segera menjalani pembedahan bagi mengelak ia merebak ke organ lain.

“Walaupun berat hati, tetapi saya terima cadangan doktor untuk melakukan rawatan kemoterapi bagi mengurangkan sel kanser merebak di dalam badan,” katanya selepas sambutan Hari Ibu 2014 anjuran Biro Wanita dan Kelab Sukan dan Rekreasi Pejabat SUK Kedah (KESUKEDAH) di Wisma Darul Aman, semalam.

Dalam majlis itu, Hafizhoh dipilih penerima Anugerah Khas sempena Hari Ibu 2014 atas jasanya selama 27 tahun dengan SUK, manakala 32 tahun berkhidmat dengan kerajaan negeri.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat negeri, Norsabrina Mohd Noor turut menyampaikan hadiah kepada penerima Anugerah Khas serta cenderahati kepada 117 ibu.