Kaizen Group Malaysia

KUALA LUMPUR 30 Okt. – Permintaan terhadap produk dan perkhidmatan insurans di Asia Timur dijangka lebih tinggi daripada apa yang pernah dicatatkan selama ini didorong oleh perluasan perdagangan, liberalisasi serta integrasi ekonomi dan kewangan di rantau Asia.

Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz (gambar) berkata, fenomena itu memberi peluang yang sangat besar kepada syarikat-syarikat insurans di rantau Asia Timur untuk menyokong pertumbuhan aktiviti perdagangan.

Tambahan pula, rantau Asia kini mula berkembang sebagai kawasan yang mempunyai penduduk berpendapatan sederhana yang semakin tinggi iaitu sebanyak 500 juta orang dan dijangka meningkat kepada tiga bilion orang menjelang 2030.

“Dengan trend sedemikian, ia mencipta peluang kepada industri insurans namun mereka juga perlu berdepan dengan cabaran-cabaran seperti risiko yang lebih besar dan kompleks.

“Pengurusan risiko, pembangunan produk dan keupayaan taja jamin menjadi perkara yang sangat penting di peringkat institusi manakala di peringkat sistem yang lebih luas, perhatian khusus perlu diberikan kepada jaringan keselamatan untuk melindungi pemegang polisi, sekali gus mengelakkan kegagalan di dalam industri insurans,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama Kongres Insurans Asia Timur ke-26 di sini hari ini.

Menurut Zeti, industri insurans Asia mempunyai masa yang lebih pendek untuk mencapai setaraf dengan negara-negara maju yang mana telah mula membangunkan industri tersebut sejak empat abad yang lalu.

Dengan itu, menurut beliau, inovasi diperlukan untuk mengangkat industri tersebut ke tempat yang lebih tinggi terutama dalam ketelusan badan kawal selia, penampan kewangan yang lebih kukuh bagi menghadapi kerugian tidak dijangka, selain menawarkan produk yang bersesuai dengan segmen pengguna yang berbeza.

Malah perubahan iklim dan bencana alam yang sering berlaku ketika ini turut memberi impak yang besar kepada industri insurans, sekali gus memberi amaran kepada pemain industri untuk menguruskan perkara tersebut dengan lebih baik.

“Trend yang membentuk landskap sosio ekonomi di Asia Timur dijangka memberi prospek pertumbuhan positif kepada industri insurans di mana peranan yang lebih besar diberikan kepadanya dalam menguatkan aktiviti ekonomi di sebalik risiko yang dihadapi oleh individu dan perniagaan,” katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20121031/ek_01/Khidmat-insurans-meningkat#ixzz2AsoXGbOM
© Utusan Melayu (M) Bhd