Kaizen Group Malaysia

SHAH ALAM – Siapa yang sanggup melihat anak sakit. Demam sekalipun, ibu dan ayah sudah pasti resah gelisah. Inikan pula menghidap sakit kronik. Sakit yang hanya menyerang 10 daripada sejuta manusia.

Akbar Ali Mohamed Nordin, 43, tidak sanggup terus melihat anaknya, Adam, 10, menanggung derita. Tumor yang menyerang di saraf tunjang Adam bukan sakit main-main. Bukan boleh diubat dengan menelan pil seulas dua. Ikuti luahan hati ayah Adam seperti diceritakan kepada NORSHAHZURA MAT ZUKI.

“Adam hanya menunggu masa untuk menjadi lumpuh. Atau akan mengalami risiko kematian jika tumor itu menekan saraf pernafasan.”

Itu maklumat yang kami terima daripada pakar bedah saraf di negara ini dan Amerika Syarikat tentang sakit yang dideritai Adam.

Jantung saya bagai disentap.

YA TUHAN beginikan noktah perjalanan anak kami? Ah! Itu hanya maklumat pakar. Bukan janji TUHAN!

Tidak mungkin ALLAH tidak sediakan jalan di hadapan. Tidak mungkin ALLAH tutup semua lorong ikhtiar bagi penyembuhan Adam.

Setiap kali Adam menangis, tulang kami turut terasa sakit. Pedih, perih dan derita Adam, sengsara kami jua. Tumor di saraf tunjang Adam kini di tahap kedua.

Adam menjalani pembedahan pertama radiosurgeri, chemoteraphy di Hospital Queen Elizabeth, Singapura, Julai 2010 dan pembedahan kedua di Hospital Kuala Lumpur. Namun, pembedahan itu hanya beri penyelesaian sementara dengan mengurangkan risiko dan kesakitan dialaminya.

Kos pembedahan di Singapura menelan belanja RM240,000. Pada waktu itu, saya hanya memikirkan nyawa anak perlu diselamatkan. Saya gunakan semua kad kredit dan buat pinjaman peribadi bagi biaya kos pembedahan itu. Malangnya, ia masih belum mencukupi.

Alhamdulillah, adik-beradik, teman-teman di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan orang awam menghulurkan bantuan kepada kami. Ia membolehkan Adam menjalani pembedahan di Singapura.

Saya terpaksa menanggung hutang yang tinggi dan untuk melunaskannya saya ambil keputusan jual rumah kami.

Saya juga berhenti kerja daripada menjadi pensyarah di UiTM supaya perhatian sepenuhnya dapat saya beri kepada Adam.

Saya pernah mohon bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor tetapi ditolak. Alasannya kerana saya tidak lagi mempunyai hutang dan bantuan zakat hanya diberikan untuk rawatan dalam negara sahaja.

Bagaimanapun, ia dipertimbangkan sekiranya rawatan diterima Adam dibuktikan tidak ada di sini.

Kami sudah berjumpa dengan pelbagai doktor neurologi dan onkologi di Malaysia dan Singapura (kerajaan dan swasta). Mereka enggan membedahnya kerana risiko lumpuh tinggi. Kata mereka, jika dibedah sekalipun, hasilnya tidak memuaskan. Saya juga difahamkan di Malaysia tiada kepakaran untuk merawat penyakit Adam. Saya berharap, kerajaan akan ambil perhatian terhadap kes ini untuk membantu anak saya.

Kini kesihatan Adam makin membimbangkan. Tumor itu mengganggu saraf-saraf kaki, tangan dan pernafasan Adam. Jika tumor itu tidak dikeluarkan melalui pembedahan, ia akan memudaratkan.

Semakin hari berat badan Adam semakin merosot. Semakin hari otot-otot di tubuh Adam semakin mengecut. Postur tubuh Adam jadi semakin tidak sempurna.

Jika penyakit Adam terus dibiarkan, risiko anak kami untuk lumpuh semakin menghampir. YA ALLAH hindarkan kami dari berita buruk itu!

Saya tidak jemu mencari maklumat. Dan terkini melalui pencarian di Internet saya mendapat maklumat berharga.

Seorang pakar neurologi, Dr George Jallo di Hospital John Hopkins, Baltimore, Amerika Syarikat melakukan pembedahan dengan jayanya terhadap pesakit yang menga­lami masalah sama seperti Adam!

Benarlah…. ini jalan yang dibuka ALLAH untuk kami mengubati Adam!

Namun, RM300,000 bagi membiayai kos pembedahan itu di luar kemampuan kami.

Bantuan dan simpati orang ramai amat kami harapkan…

Setakat tengah hari semalam, RM28,100 sudah terkumpul. Terima kasih kepada yang membantu. Hanya ALLAH dapat membalas. Kami juga mengharapkan doa orang ramai semoga Adam terus dilindungi-NYA.