Kaizen Group Malaysia

LAZIMNYA apabila pasangan Islam itu mendirikan rumah tangga sudah pastilah harapan tinggi menggunung ‘masjid’ dibina ini akan kekal hingga ke syurga. Begitu juga ucapan dan doa sahabat handai rakan taulan dan saudara mara yang mahukan kebahagiaan dikecapi oleh pengantin baharu.

Namun hakikatnya tidak semua pasangan itu bahagia, terdapat pelbagai liku dalam melayari bah-tera perkahwinan. Tidak kurang juga suatu perkahwinan itu berakhir dengan perceraian atau kematian satu pihak.

Ruangan kali ini tidak berhasrat membincangkan isu-isu selepas perceraian tetapi memfokuskan  mengenai  persediaan bagi menghadapi saat tidak diduga iaitu kematian pasangan. Hal ini memang amat memeritkan apatah lagi sekiranya yang meninggal dunia itu adalah suami atau bapa yang selama ini menyara keluarga.

Walaupun hukum faraid telah menetapkan pembahagian harta pusaka namun terdapat pelbagai prosedur yang perlu dipatuhi terlebih dahulu sebelum pembahagian faraid itu dapat dilakukan.

Kadangkala ada pula kehendak-kehendak tertentu yang diinginkan oleh pasangan dalam pengurusan harta pusaka mereka seperti memberikan sebahagian dari harta kepada orang lain sebagai wasiat, kesamarataan penerima pusaka, pemberian kepada anak angkat dan banyak lagi. Apa pun yang ingin dilakukan pasangan Islam mestilah memastikan ia tidak melanggar Hukum Syarak dan boleh dilaksanakan.

Apa yang lebih penting ialah mengetahui instrumen yang dibenarkan untuk digunakan agar tidak mengalami masalah pada kemudian hari. Umpamanya ramai yang lupa atau tidak mengetahui bahawa wasiat tidak boleh diberikan kepada ahli waris yang layak menerima faraid dan juga tidak boleh melebihi sepertiga dari harta tinggalan si mati.

Sebagai seorang pengamal undang-undang sivil dan syariah saya sering membaca dokumen wasiat yang memberikan hak sama rata kepada ahli waris dengan tujuan mengelakkan pembahagian mengikut faraid.

Wasiat sebegini tidak mempunyai apa-apa implikasi sekiranya selepas kematian kesemua waris bersetuju pembahagian sebegitu tetapi ia boleh menjadi tidak sah jika ada yang mencabar kesahihan wasiat tersebut.

Cara yang betul adalah dengan membuat pemberian atau hibah kepada anak-anak semasa hayat pemberi hibah itu. Hibah tersebut hendaklah dilaksanakan ketika pemberi hibah masih hidup bukan selepas kematian.

Bagi mereka yang tidak layak menerima harta pusaka pula wasiat adalah instrumen terbaik bagi menjamin orang tersebut menerima bahagiannya selepas kematian pewasiat. Namun, harus diingat  sesuatu wasiat tidak boleh melebihi sepertiga daripada keseluruhan harta tinggalan si mati.

Ramai yang mengatakan pem-bahagian harta pusaka adalah terlalu rigid sehingga mengekang hak pemilik harta dari menggunakan hartanya sebebas mungkin. Dakwaan ini adalah tidak benar kerana selagi seseorang itu masih hidup dan memiliki hartanya  beliau berhak menguruskan hartanya sebagaimana kehendaknya.

Tetapi tatkala beliau meninggal dunia harta tersebut terputus dari pemilikan si mati kerana telah menjadi hak ahli waris. Itulah sebabnya si mati tidak lagi boleh menentukan apa yang harus dilakukan terhadap harta pusakanya.

Sebenarnya transaksi pelupusan harta dalam Islam adalah sangat adil, namun agak kompleks bagi sesetengah orang kerana melibatkan pelbagai instrumen perundangan yang harus dinilai dari lensa syariah.

Adalah amat penting bagi pasangan sedari awal perkahwinan mengetahui dan mengaturkan pembahagian sebegini. Apatah lagi sekiranya sudah pun memiliki harta yang banyak dan menikmati kelunakan hidup amatlah perlu bagi menguruskan harta ini dengan bijaksana.

Jangan tinggalkan ahli waris dalam kesulitan setelah ketiadaan anda. Amat malang bagi waris yang ditinggalkan oleh si mati yang berharta tetapi tidak dapat menikmatinya termasuklah dibekukan kerana tidak diketahui waris sah bagi harta tersebut.

Mungkin fobia masyarakat Melayu yang takut kepada kematian tidak mahu berbincang apa yang akan berlaku selepas kematiannya. Lantas dibiarkan sahaja apa jua isu kerana tidak mahu dikaitkan dengan kematian.

Inilah sikap yang perlu diubah kerana kematian itu pasti tiada seorang pun dapat melarikan diri daripadanya. Seharusnya kita sudah bersedia dan menyediakan kaedah terbaik bagi ahli waris setelah mereka ditinggalkan.

Selain dari hak ahli waris dan wasiat ini, bagi menjamin amalan seseorang itu terus tercatat sebagai amalan baik boleh juga dibuat sedekah wakaf dan derma kepada badan kebajikan atau agama melalui instrumen wasiat ini.

Dengan cara ini selagi harta yang disedekah atau diwakafkan itu dinikmati oleh orang yang menggunakannya maka pahala akan tercatat bagi orang yang memberi sedekah atau wakaf  itu.

Kesimpulannya memang terdapat pelbagai cara harta seorang itu boleh ditadbir selepas beliau meninggal dunia. Ia tidak terhad kepada hukum faraid sahaja.

Namun segala instrumen yang digunakan mestilah dipastikan tidak melanggar hukum syarak terlebih dahulu bagi mengelakkan kesusahan setelah meninggal dunia.

Uruskanlah harta  dengan penuh kebijaksanaan semasa kita hidup dan tinggalkanlah ia juga dengan kebijaksanaan untuk dinikmati ahli waris dan semua yang berkenaan dengan adil.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia