Haji selepas ini untuk orang kaya?
MEKAH 25 Sept. – Kos mengerjakan haji semakin mahal dan meningkat dua kali ganda setiap tahun sejak lima tahun lalu.
Jika trend kos haji berharga tinggi ini berterusan, dibimbangi akhirnya umat Islam akan sampai ke tahap di mana haji hanya mampu dimiliki oleh orang-orang kaya.
“Terdapat berjuta-juta di luar sana yang ingin mengerjakan haji tetapi gagal kerana kos perjalanan dan penginapan. Sedangkan ramai bersedia melakukan apa sahaja untuk menjalankan ibadah yang hanya sekali dalam seumur hidup Islam mereka.
“Walaupun Islam ada pengecualian terhadap mereka yang tidak mampu dari segi kewangan untuk menunaikan haji, tetapi majoriti terutama warga tua berkehendakkannya. Namun kos haji tetap menjadi halangan besar,” komen editor Saudi Gazette, Mahmoud Ahmad dalam portal berita akhbar itu yang disiarkan 21 September lalu.
Menurut Mahmoud, dilaporkan kos haji pada masa ini bermula dari SR2,000 (RM1,728.25) dan mencecah sehingga SR100,000 (RM86, 412.4) dalam beberapa kes.
Malah, berdasarkan laporan, beberapa orang yang mahukan kos yang berpatutan, mendapati harganya telah mencapai SR20,000 seorang. Yang bernasib baik boleh meraih harga SR12,000.
Seseorang yang berpendapatan sederhana, kata Mahmoud, belum tentu mampu membayar harga tersebut.
“Saya ingin bertanya bagaimana seorang jemaah haji tempatan, sama ada Arab atau ekspatriat, yang dengan gaji purata SR7,000 sebulan dan dengan keluarga seramai empat orang mampu mengerjakan haji?
“Jika kita melakukan kiraan matematik yang menganggap bahawa dia akan membayar SR9,000 untuk setiap orang untuk urusan haji, maka jemaah haji ini dengan keluarga seramai empat orang ini perlu membayar SR36,000. Berapa banyak jemaah haji ini akan ambil dari gajinya setiap bulan, dengan mengambil kira sewa (rumah), yuran sekolah, makanan dan banyak perkara lain yang berkaitan?,” katanya.
Mahmoud dalam kolumnya berkata, adalah tidak logik seseorang membayar sejumlah wang yang besar selama lima hari sahaja (kemuncak haji dari 9 Zulhijjah (wukuf di Arafah) sehingga 13 Zulhijjah (melontar jamrah).
“Penginapan adalah khemah dan bukan bilik lima bintang. Ia adalah khemah yang dikongsi dengan ramai jemaah lain. Makanan ‘sushi’ biasa dan bukan ikan mahal. Bagi pengangkutan, bas-bas biasa digunakan.
“Haji adalah (urusan) mudah, jemaah haji memakai pakaian ihram putih. Seorang jemaah haji di lapangan haji tidak diberitahu supaya menjalani kehidupan mewah sebaliknya merendah diri dan menumpukan kebanyakan masa dengan berdoa kepada Allah.
“Jemaah haji tidak memerlukan TV (televisyen) atau sofa dalam khemahnya. Urusan mengerjakan haji yang berkos tinggi tidak patut digalakkan,” kata beliau.
Mahmoud berkata, beliau tertanya-tanya mengapa semua agensi perkhidmatan haji terus berkeras untuk tidak menurunkan kos haji ke tahap munasabah agar semua lapisan masyarakat mampu mengerjakan haji.
Kata beliau lagi: “Jika trend kos mahal ini berterusan, maka kita akan sampai ke tahap di mana Haji hanya mampu dimiliki oleh orang-orang kaya.
“Sedangkan jika kita menyelusuri sejarah orang Mekah, berkhidmat untuk jemaah haji adalah satu penghormatan yang mereka banggakan.” – UTUSAN
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140926/dn_23/Haji-selepas-ini-untuk-orang-kaya#ixzz3EQy3q3S9
© Utusan Melayu (M) Bhd