Kaizen Group Malaysia

KOTA BHARU: Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib ibu muda, Suhana Abdullah, 29, yang perlu menjaga tiga anak kecil dan suami yang sedang terlantar sakit.

Segala berubah dalam kehidupan Suhana, apabila suaminya, Mohd Zaid Mat Yusof, 33, retak tempurung kepala akibat ditimpa kemalangan di tempat kerja pada Ogos tahun lalu.

“Ketika kejadian, suami sedang memasang papan tanda kedai di Tumpat sebelum dia tiba-tiba tergelincir jatuh dan kepalanya terhentak di jentera trak angkat susun (forklift).

“Suami baru saja tiga bulan berjinak-jinak membuka perkhidmatan kimpalan dengan sepupu, niat dia nak tambah pendapatan keluarga tapi apakan daya ini pula yang terjadi,” katanya yang ketika ini menemani suami di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini, hari ini.

Menurutnya, dia yang tidak bekerja terpaksa mengharapkan ihsan orang ramai bagi menampung keperluan harian suami seperti lampin pakai buang, kapas, tisu dan susu mencecah lebih RM300.

“Saya turut risau memikirkan nasib tiga anaknya, Muhammad Zarif Ikhwan, 4; Muhammad Zaim Irsyad, 3, dan Muhammad Zafran Aiman, tiga bulan.

“Buat masa ini, keluarga mentua dan ibu saya di Kampung Gong Manak, Pasir Puteh dan Kampung Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu bergilir-gilir tolong menjaga anak apabila saya perlu berulang-alik ke hospital,” katanya.

Bagi yang ingin membantu, boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Suhana Abdullah di akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 03103-41-00002961-6