Kaizen Group Malaysia

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Tuan/Puan

Selamat Tahun Baru 2017 buat pembaca budiman (masih belum terlambat kan). Semoga semuanya sihat dan bersemangat mengharungi tahun baru ni. Pagi-pagi ni ada semangat sikit nak komen tentang berita yang aku dengar di Radio masa hantar anak ke sekolah pagi tadi. Menurut satu laporan, kebanyakan pesara yang mempunyai caruman di KWSP akan kehabisan wang simpanan mereka dalam tempoh 3 tahun setelah bersara. Ada kes yang lebih parah, dalam tahun pertama tu pun dah habis licin semuanya.

Wow, seram kan bila dengar keadaan macam ni boleh berlaku kepada kita bila bersara nanti. Bayangkan kalau kita dikurniakan umur yang panjang, tinggal di bandar, masih mempunyai hutang (rumah, kereta, dll), anak-anak pula tak mampu membiayai perbelanjaan kita, dengan macam-macam lagi tuntutan hidup yang memerlukan wang, apa akan jadi agaknya?

Kita percaya dan penuh yakin, rezeki masing-masing dah ditentukan Allah sejak di loh mahfuz lagi. Tapi, kita juga kena ingat, rezeki bukan datang bergolek tanpa berusaha. Tambahan pula dengan keadaan sekarang ni, macam-macam “uncertainty in life” boleh terjadi kepada kita. Orang yang kerja sendiri memang dah well-prepared dengan cabaran macam ni, tapi bagi geng yang makan gaji, kebanyakan mereka bergantung penuh kepada simpanan KWSP untuk kegunaan di hari tua. Mengikut perangkaan terdapat kira-kira 160,000 pencarum KWSP yang akan berusia 55 tahun pada tahun 2017 dan boleh membuat pengeluaran penuh.

Jom kita check, apa sebab duit KWSP boleh lenyap (kalau tak kena gaya) bila pengeluaran penuh dibuat ketika umur mencecah 55 tahun. Kat bawah ni aku petik beberapa komen dari dua orang pakar perunding kewangan yang DJ Radio IKIM call pagi tadi. Sorang tu tak silap nama dia Dr Fazli dan sorang lagi Pn. Hajah Rohani dari Hijrah Wealth Management (credit goes to both of them, the DJs and the listeners who had contributed in the discussion).

Masalah utama yang dikenalpasti berpunca dari faktor dalaman (kesilapan diri sendiri) dan juga faktor luaran (terpengaruh atau dipengaruhi).

1. Gagal Merancang Persaraan

Ramai yang sedar satu hari nanti, mereka akan bersara, tidak bekerja dan banyak menghabiskan hari tua dengan duduk di rumah atau bersama anak dan cucu (atau tinggal di rumah orang tua?). Pada anggapan mereka, bila dapat duit KWSP nanti, mereka boleh urus diri sendiri dan tidak perlu menyusahkan sesiapa. Hakikatnya, duit yang dikeluarkan sekaligus tu boleh habis sekelip mata bila tidak dirancang penggunaannya dengan betul.

Apabila dapat duit “segedebuk” (banyak), mereka suka membelanjakan duit tu untuk “instant gratification”. Ada yang mula tempah kereta mewah yang baru, ada yang terpengaruh untuk “join” skim cepat kaya yang kononnya dapat memberi pulangan bulanan yang lumayan dan macam-macam lagi. Ejen-ejen pelaburan yang tak bertauliah pun akan gigih berkempen kepada pakcik dan makcik “OKB” ni untuk masuk skim pelaburan mereka. Tanpa bertanya kepada pakar dan membuat penyelidikan terlebih dahulu, mereka mudah terpedaya dan terperangkap dalam masalah yang tiada penyelesaian. Punca utama masalah ini berlaku sebab tiada pengetahuan dan kemahiran pengurusan kewangan dari awal.

2. Hutang Yang Banyak Ketika Bersara

Ada dua jenis hutang yang kita kena tahu – Hutang Baik dan Hutang Jahat. Hutang baik contohnya macam hutang beli rumah yang sedang disewakan dan memberikan pendapat pasif yang boleh membayar pinjaman rumah secara sendiri. Hutang jahat pula seperti hutang kad kredit (faedah tinggi), pinjaman peribadi, hutang beli perabot baru atau ubahsuai rumah yang bukan keperluan, hutang kereta mewah, (kahwin 4)dan sebagainya.

Jika kesemua jenis hutang “jahat” tidak diselesaikan sebelum usia persaraan, kita akan berhadapan masalah besar kerana berkemungkinan duit KWSP akan banyak dihabiskan untuk melangsaikan hutang-hutang ini terlebih dahulu. Sudahnya, kita akan jadi “pengemis” dengan anak-anak (mereka pun ada beban hidup yang perlu ditanggung) untuk meneruskan kelangsungan hidup sampai umur 75 atau 80 tahun (kadar mortality rakyat Malaysia dah meningkat). Duit yang sepatutnya kita gunakan untuk penjagaan kesihatan dan belanja di hari tua, hangus digunakan untuk membayar hutang.

3. Gagal Kawal Perbelanjaan

Masalah ini berkait rapat dengan masalah pertama (iaitu tidak tahu merancang kewangan). Apabila kita tidak dapat mengawal nafsu berbelanja, kita akan banyak membuat perbelanjaan semasa (current consumption) tanpa memikirkan keperluan duit di hari tua (future consumption).

Ramai yang gagal mendisiplinkan diri untuk hidup secara sederhana kerana merasakan gaji mereka mampu menampung gaya hidup mewah dan KWSP dah tolong buat simpanan hari tua. Sudahnya, peluang untuk menjana keuntungan hasil lebihan pendapatan bulanan terlepas begitu saja.

4. Tiada Kemahiran Diri Yang Boleh Menjana Wang

Memandangkan kadar jangka hayat manusia telah meningkat (hasil gaya hidup dan penjagaan kesihatan yang baik), lagi panjang umur seseorang itu, lagi banyak duit yang diperlukan untuk menampung kehidupan mereka. Ini tidak menjadi masalah ketika masih bekerja dan dibayar gaji (dan mendapat faedah perlindungan insurans perubatan). Tapi kalau dah tak bekerja, duit KWSP pun dah habis, memang sesak nafas juga dibuatnya.

Justeru, penting untuk seseorang itu ada kemahiran tertentu yang masih bernilai untuk menjana pendapatan sekiranya terdesak di kemudian hari. Saya dah jumpa ramai pakcik-pakcik yang dah pencen tapi masih steady membuat kerja berdasarkan kepakaran mereka seperti menulis, membuat training, mengambil gambar (untuk dijual), mengajar Al-Quran, menjual barangan secara suka-suka dan sebagainya. Mereka buat ini semua bukan kerana terpaksa, tetapi sebab kemahiran semulajadi yang dicampur dengan minat tetap memberi imbuhan yang lumayan. Semua kemahiran ni bukan boleh dicipta sekelip mata, ianya perlu diasuh dari muda.

5. Tiada Ilmu Perancangan Kewangan

Malas belajar tentang teknik menguruskan kewangan sejak dari muda juga boleh menyebabkan seseorang itu hilang punca bila berdepan masalah kekeringan dana di hari tua. Kadangkala mereka beranggapan bahawa duit simpanan di KWSP dan simpanan “bawah bantal” sudah mencukupi, tanpa mereka membuat perkiraan setiap liabiliti, kos sara hidup, perubatan, dan sebagainya yang perlu ditanggung sepanjang hayat.

Apabila kita celik kewangan, kita sedar dan tahu menyusun strategi ketika peluang masih banyak dan menguntungkan. Ada beberapa cara bagaimana kita boleh mendapatkan ilmu perancangan kewangan untuk persediaan seumur hidup:

1) Belajar dari pakar pengurusan kewangan yang bertauliah, mentor kewangan, financial planner, dan coach yang berkelayakan. Kalau takde masa pergi ke seminar atau beli buku mereka, boleh baca artikel mereka di Internet dan join discussion di media sosial.

2) Dapatkan nasihat dan rundingcara dari pakar perancangan kewangan berkenaan matlamat kewangan kita. Mereka akan menilai keadaan kewangan semasa kita dan memberi nasihat serta panduan secara sistematik bagaimana kita harus merancang penggunaan wang, membuat pelaburan dan mengambil pelan perlindungan (takaful) yang sah di sisi undang-undang dan syarak. Fokus kepada pulangan yang stabil dan risiko yang minima.

3) Belajar ilmu pengurusan kewangan semasa masih bekerja – pihak sumber manusia perlu beri pendedahan dan kursus berterusan kepada semua pekerja sejak mereka mula bekerja tentang cara-cara menguruskan wang gaji mereka ke arah yang betul. Jika tempat kerja anda tidak mengadakan kursus sebegini, buat inisiatif sendiri agar anda tidak terlepas peluang membuat peracangan dari awal. Ibu bapa juga harus terapkan pendidikan merancang pengurusan kewangan jangka panjang kepada anak-anak dan ahli keluarga. Ianya harus menjadi budaya bukan sekadar acara tangkap muat.

Menurut Hajah Rohani, bila sampai umur 55 tahun, tiada masalah untuk kita membuat pengeluaran penuh asalkan kita tahu apa yang patut dibuat selepas itu. Berikut adalah antara cadangan beliau dan Dr Fazli.

1) Buka akaun Emas di KWSP (http://www.kwsp.gov.my/act/bm/akaun-emas.html) yang membolehkan semua caruman selepas umur 55 tahun disimpan untuk pengeluaran pada umur 60 tahun. Ada di antara kita yang masih kuat dan sihat untuk bekerja selepas umur 55 tahun, untuk mengelakkan kita “kekeringan” dana semasa kita tidak bekerja lagi, akaun Emas ini adalah option yang bagus.

2) Membuka akaun di Private Investment Scheme – yang ni saya tak dapat ulas, sebab saya bukan pakar dalam skim pelaburan khas.

3) Separuh daripada jumlah pengeluaran dilaburkan (perlu disiplin) dan separuh lagi boleh digunakan untuk melangsaikan hutang yang ada “interest” tinggi (jika ada). Loan rumah/kereta tak payah settle sekaligus, settle bulanan macam biasa. Panjangkan penggunaan wang yang kita ada.

4) Rancang dulu apa yang akan kita patut buat sebelum dapat duit di dalam akaun bank. Takut nanti bila tiba-tiba nampak duit banyak dalam akaun, terus kelabu mata dan boros berbelanja.

5) Dapatkan perlindungan takaful untuk harta dan wang yang kita ada dan boleh diwakafkan bila kita meninggal dunia. Yang ni pun kena tanya balik dengan Hajah Rohani, jenis takaful bagaimana yang ada option untuk wakaf (atau anda boleh Google for the explanation).

6) Beri sedikit hadiah atau hibah untuk anak-anak tapi jangan banyak sangat, sebab duit KWSP yang kita keluarkan bukan harta yang perlu difaraid (kita masih hidup). Kecenderungan ibu bapa yang ingin menaja pembelian hadiah kepada anak-anak seperti beli kereta baru, rumah baru, pergi bercuti dan sebagainya akan memakan diri sendiri bila duit tersebut habis. Utamakan diri kita dahulu supaya kita dapat bersara dengan tenang dan wang yang kita dapat berkat dan kita tak perlu meminta-minta dari anak-anak bila kesempitan. Maksimakan manfaat wang yang kita dapat ke jalan yang betul.

7) Bagi golongan muda (awal 30-an), anda perlu fikir dan rancang untuk memperuntukkkan 20% dari pendapatan kepada 3 instrumen utama iaitu 10% untuk takaful, 5% ke Tabung Haji dan 5% untuk saham atau pelaburan lain.

Mengikut perkiraan umum, seandainya kita hidup sampai umur 100 tahun, kita perlu bekerja sampai umur 80 tahun – kadar mortality meningkat sebab gaya hidup yang sihat. Namun, jika perancangan kewangan kita betul, kita boleh bersara mengikut umur persaraan yang disarankan tanpa perlu risau keperluan perbelanjaan akan datang. Seelok-eloknya jangan ada hutang lagi ketika bersara (personal loan, hutang kereta, PTPTN, credit card, etc.). Disiplin penggunaan wang amat penting, bukan saja kita kena pandai cari dan kumpul duit, tapi kita juga harus pandai membelanjakannya ke jalan yang betul.

Rezeki yang ada janganlah kita lupa untuk bersedekah, membayar zakat, menginfakkan ke jalan yang baik dan berwakaf. InsyaAllah keberkatan rezeki kita akan berpanjangan dan Allah akan beri kecukupan mengikut keperluan kita.

Terima Kasih

BAGI YANG BERMINAT UNTUK PELAN PERSEDIAAN PERSARAAN, SILA ISI BORANG DIBAWAH