Bagaimana takaful boleh 
menjamin masa depan anda

Perancangan masa depan sememangnya menjadi sebahagian daripada kehidupan, terutama­nya jika kita mempunyai keluarga serta mempunyai matlamat yang ingin dicapai. Ini termasuklah keinginan untuk membeli rumah, kereta atau mempunyai wang yang cukup untuk menghantar anak-anak ke universiti serta hidup dengan selesa sewaktu bersara kelak. Sebilangan besar daripada kita tidak menyedari bahawa langkah pertama untuk jaminan masa hadapan adalah dengan mengekalkan apa yang dimiliki sekarang dan kemudiannya melabur untuk masa depan. Nampak begitu mudah, namun pada hakikatnya ramai daripada kita gagal untuk melabur pada peringkat awal sehinggalah semuanya sudah terlewat.

Walaupun kita tidak dapat menjangka apa yang bakal berlaku pada masa depan, kita sentiasa boleh bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Aspek yang paling pen­ting untuk masa depan yang mampu dikawal adalah aspek kewangan kita. Hampir kesemua aspek yang boleh dinilai seperti mendapatkan pendidikan tinggi, berkait rapat dengan perancangan kewangan yang baik. Boleh dikatakan bahawa pengurusan kewangan yang baik dan me­nyalurkannya untuk menjamin masa depan serta pengumpulan aset adalah cara terbaik untuk memastikan kita dilindungi daripada sebarang ketidaktentuan. Produk Takaful merupakan instrumen terbaik untuk membantu mencapai masa depan yang lebih terjamin. Berikut disertakan beberapa contoh:

Memberikan perlindungan komprehensif

Pelan Takaful keluarga direka untuk menyediakan perlindungan komprehensif dan memberikan perlindungan berpanjangan serta pelaburan untuk masa depan. Terdapat pelan berkait pelaburan yang membolehkan kita menyimpan untuk jaminan masa depan seperti persaraan. Pelan ini membolehkan kita melindungi keluarga sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini, kematian atau hilang upaya kekal dengan bayaran tunai sekali gus. Ini memastikan waris mempunyai bantuan kewangan yang diperlukan setelah ketiadaan kita. Kebanyakan pelan Takaful keluarga membantu memenuhi matlamat kewangan tanpa perlu bimbang akan ketidaktentuan pada masa depan. Di samping itu, beberapa pelan Takaful keluarga membenarkan kita untuk meningkatkan kadar perlindungan dengan menawarkan rider perubatan dan penyakit kritikal.

Membina dana jangka panjang

Sekiranya anda mempu­nyai banyak matlamat kewangan dalam kehidupan, produk Taka­ful membolehkan kita untuk membuat sumbangan yang lebih besar untuk membina kekayaan dengan lebih cepat. Pelan-pelan Takaful yang terikat kepada berkaitan pelaburan boleh membantu melaburkan wang mengikut selera risiko masing-masing. Ini turut membolehkan kita mempunyai kuasa beli dan seterusnya mencapai matlamat seperti membeli rumah dengan lebih cepat.

Melindungi kesihatan

Boleh dikatakan, tiada yang lebih penting daripada memiliki kesihatan yang baik kerana dengan kesihatan yang baik akan membolehkan kita mencapai sebarang matlamat hidup. Kita tidak boleh menjangka bila kita akan jatuh sakit atau ditimpa musibah. Ini membuatkan penjagaan kesihatan menjadi semakin penting. Dalam dunia moden kini, kos penjagaan kesihatan amatlah tinggi. Oleh itu memiliki pelan Takaful perubatan merupakan satu kewajipan bagi memastikan kita menerima rawatan kesihatan yang sewajarnya apabila diperlukan. Selain itu, pelan Takaful perubatan juga membolehkan kita dilindungi da­ri sebarang bebanan kewangan disebabkan kos perubatan yang tinggi.

Rancang pendidikan anak

Sebagai ibu bapa adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan bahawa keperluan mereka diutamakan, dan cara yang terbaik adalah menyediakan mereka dengan peluang pendidikan yang terbaik. Melalui pelan pendidikan Takaful, kita boleh menyediakan tabungan untuk pengajian tinggi mereka. Ada beberapa pelan yang menawarkan ganjaran tunai kepada anak-anak sebagai insentif dalam pencapaian peperiksaan diperingkat rendah dan mene­ngah. Pelan pendidikan ini juga memberikan perlindungan asas Takaful.

Perlindungan kediaman

Salah satu pelaburan terbesar yang dibuat dalam hidup adalah pembelian rumah. Sewajar­nyalah kita melindungi pembelian terbesar ini dari sebarang ketidaktentuan. Terdapat pelbagai jenis skim komprehensif untuk melindungi kediaman, bukan sahaja dari aspek gadai janji rumah malah aset yang berada di dalam kediaman. Pelan Takaful pemilik rumah direka untuk melindungi pembeli rumah dan gadai janji dan akan membayar ansuran bulanan sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal ke atas pemilik. Selain melindungi rumah, perimeter luar rumah dan juga isi kandu­ngannya turut dilindungi daripada kecurian, banjir, kebakaran dan sebarang musibah lain. Malah sekiranya kita menyewa rumah tersebut, ia masih boleh dilindungi melalui satu pelan Takaful yang direka khas ini.

Perlindungan untuk kenderaan

Kenderaan terutamanya ke­reta telah menjadi satu ke­perluan untuk menjalankan ak­ti­viti seharian. Kita menggunakan kereta untuk ke tempat kerja, mengambil anak-anak dari sekolah, malah kita menggunakan kereta untuk hampir semua urusan. Adalah sangat penting untuk memiliki pelan Takaful kenderaan yang terbaik. Pelan Takaful ini akan melindungi kenderaan dan membayar ganti rugi sekiranya berlaku kemalangan atau kecurian. Ada pelan yang menyediakan kereta sewa untuk digunakan sekiranya kenderaan langsung tidak boleh digunakan bagi membolehkan rutin harian dilakukan seperti sedia kala.

PENULIS adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Great Eastern Takaful Berhad

– See more at: http://m.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/bagaimana-takaful-boleh-8232-menjamin-masa-depan-anda-1.95581#sthash.6tQgSS7P.dpuf