Kaizen Group Malaysia

gefahr_und_risiko_artikel

Secara ringkasnya, risiko adalah kebarangkalian atau kemungkinan berlakunya musibah ke atas seseorang. Mungkin kita jarang berbicara mengenai risiko, namun begitu, kita sering diperdengarkan dengan cerita atau berita mengenai ahli keluarga, rakan taulan atau rakyat Malaysia yang ditimpa musibah seperti kematian, jatuh sakit, ditimpa kesusahan atau mengalami masalah kewangan.

Musibah sememangnya tidak dapat dijangka atau diramalkan. Ia datang tanpa kita sangka dan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Justeru itu, pengurusan risiko bukanlah bermakna seseorang individu itu mampu mengawal situasi dan mampu mengelak daripada terjadinya musibah tersebut, tetapi boleh berusaha untuk mengurangkan kesan yang ditanggung selepas berlakunya sesuatu yang tidak diingini. Seseorang individu telah melaksanakan pengurusan risiko apabila beliau berusaha untuk mengurangkan kesan daripada musibah tersebut.

Sebagai contoh, seorang bapa yang menyertai skim takaful bagi mengurangkan beban kewangan ke atas isteri dan anak-anak apabila ketiadaannya, sebenarnya sedang melaksanakan pengurusan risiko. Beliau berusaha untuk mengurangkan trauma ahli keluarganya di atas ketiadaannya kelak dan ahli keluarga tidak perlu risau mengenai perbelanjaan kesihatan atau tabungan masa hadapan dengan adanya perlindungan takaful. Begitu juga apabila seorang anak menyertai skim takaful sebagai persediaan menangani peningkatan kos perbelanjaan perubatan. Si anak sebenarnya sedang menguruskan risiko apabila beliau berusaha untuk mengurangkan tekanan kewangan yang bakal dialami oleh ibu bapa dan keluarga sekiranya berlaku sebarang musibah ke atas dirinya.

Kita sememangnya tidak dapat lari daripada risiko atau musibah. Namun, ianya boleh berubah menjadi tragedi apabila pemergian seorang bapa menghancurkan masa depan semua anak-anak atas sebab masalah kewangan yang berlaku kerana ketiadaannya.

Boleh juga berlaku apabila perbelanjaan perubatan seseorang ditanggung sepenuhnya menggunakan ke semua wang simpanan. Adakalanya sumber pendapatan turut hilang kerana serangan sesuatu penyakit mengakibatkan individu terbabit tidak boleh meneruskan kerjayanya. Ini menunjukkan bahawa pengurusan risiko dalam kehidupan kita dan keluarga adalah amat penting.

Dengan adanya skim takaful, rakyat Malaysia diberi kemudahan untuk melaksanakan pengurusan risiko dengan cara patuh syariah. Melalui takaful, peserta membuat caruman berdasarkan kontrak Tabarru (sedekah) ke dalam satu dana bertujuan untuk membantu bukan sahaja peserta itu sendiri, malah peserta-peserta lain dalam skim tersebut.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20140425/ek_05/Kepentingan-pengurusan-risiko-dan-skim-takaful#ixzz3K3CSUuk3
© Utusan Melayu (M) Bhd