Anak hidap kanser tulang
“TAK mengapalah ibu, abang pun nanti akan pergi tempat yang elok juga.” Itulah kata-kata yang menguatkan semangat saya sebagai ibunya untuk terus berusaha mencari dana bagi merawat kanser tulang tahap empat anak saya, Wan Arif Ferdaus Wan Ahmad Affendy, 9 tahun.
Saya dan suami berusaha keras mencari kewangan, namun untuk mendapatnya dalam tempoh singkat amat mustahil. Tambah kebimbangan saya apabila suami (Wan Ahmad Affendy Wan Mohd Yaakob, 34,) akhirnya diberhentikan kerja kerana kerap ambil cuti untuk bawa Abang (panggilan untuk Wan Arif) buat rawatan di hospital.
[wdsm_ad id=”2288″ class=” ” ]
Disebabkan itu, saya dan suami hilang pendapatan, tidak ada wang, apatah lagi untuk meneruskan rawatan Abang. Selain Abang, adik-adiknya yang lain juga perlukan kami, perut mereka juga perlu diisi. Kepada adik-beradik dan saudara-maralah kami dapatkan pertolongan.
Ujian kedua
Abang dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.
Ketika di sini (PPUM), sekali lagi saya dan suami diuji. Doktor pakar beritahu anak kami perlu sekurang-kurangnya RM80,000 untuk merawat kanser dan memasukkan besi ke tulang kering Abang.
Terduduk kami. Jumlah itu bukan calang, terlalu banyak, sedangkan untuk mengisi perut kami lima beranak pun daripada ihsan ahli keluarga terdekat, inikan pula mahu sediakan jumlah itu.
Makan tak kenyang, tidur pun tak lena fikirkan keadaan ini. Untuk kumpul wang sebanyak itu kami usahakan dengan minta bantuan Jabatan Kemajuan Masyarakat dan Baitulmal, tapi tidak juga cukup. Sampai satu tahap, saya dan suami reda dengan ujian ini. Kami sedia
sekiranya ALLAH menjemput abang.
Namun, bantuan ALLAH datang pada kami, hebahan berita mengenai Abang di akhbar ini banyak membantu, pelbagai pihak tampil hulurkan derma. Dapatlah wang dikumpulkan dan pembedahan yang sekian lama tertangguh akhirnya dapat dibuat.
Jual tanah mula kehidupan
Abang masih memerlukan rawatan susulan dan pemantauan hospital. Kami pindah sementara ke Kuala Lumpur bagi memudahkan Abang menerima rawatan susulan. Memikirkan kos yang semakin meningkat, saya buat keputusan jual tanah untuk jadikan modal
memulakan kehidupan baru di Kuala Lumpur.
Selama enam bulan kami sekeluarga menyewa sebuah bilik untuk jaga anak sulung. Saya bekerja sebagai pembantu tukang masak di kafeteria hospital sama, jadi mudahlah kami nak jaga anak-anak.
Keadaan ini lebih baik berbanding kami perlu ulang-alik dari Batu Gajah ke Kuala Lumpur sebab Abang agak sensitif dengan perubahan cuaca, boleh jejaskan kesihatan dia ketika dalam rawatan.
Bila keadaan kembali stabil, kami sekeluarga pulang semula ke Batu Gajah untuk teruskan kehidupan, termasuk sesi persekolahan Abang yang tertinggal sejak setahun lalu.
Kehidupan kami bertambah baik dan pulih setelah suami dapat kerja baru, dia berniaga aiskrim goreng dan saya kerja sebagai operator pengeluaran wanita di sebuah kilang di Bemban, lebih kurang lima kilometer dari rumah.
Walaupun keadaan Abang tidak pulih sepenuhnya, namun dengan kami berdua bekerja, dapatlah jaga Abang dan adik-adiknya -Wan Batrisya Ladinah, 5, dan Wan Adeeb Abdullah, 3, termasuk bapa saya, Ramli Abdullah, 63. Bapa saya baru pulih koma, dia jatuh ketika ambil kekabu.
Kami tidak menyewa lagi, kami tumpang rumah orang tua, sambil jaga anak-anak dapat juga jaga orang tua kami.
Dugaan berterusan
Kami teruskan rutin seperti biasa, kami perlu tabah demi Abang dan dua lagi anak kami. Namun, kami diuji sekali lagi apabila abang perlu menjalani pembedahan buat kali kedua dengan kos rawatan berjumlah hampir RM40,000 pula. Berdasarkan pengalaman sebelum ini, kami meminta pertolongan daripada semua pihak.
“Memikirkan asyik meminta, kami berusaha untuk terus bekerja sendiri bagi mengumpulkan wang sebaik dan pada masa sama kami bersyukur apabila masih ada insan yang sudi hulur wang untuk ringankan beban kami.
Kebahagiaan saya dan suami adalah melihat senyuman anak-anak yang sihat membesar depan mata.
Dugaan ini semua adalah ujian ALLAH yang menyayangi kami sebagai umatNya. Kami perlu tabah demi masa depan anak-anak yang merupakan anugerah teristimewa daripadaNya.
[wdsm_ad id=”2298″ class=” ” ]