Kaizen Group Malaysia

Kuala Lumpur: Masih ramai tidak sedar mengenai kepentingan takaful dan insurans dalam kehidupan masa kini.

Kepentingan takaful keluarga atau insurans hayat menjadi semakin ketara dengan peningkatan risiko yang dihadapi isi rumah yang kurang berkemampuan seperti kos sara hidup yang semakin tinggi, tabungan rendah dan keberhutangan sekali gus mendedahkan kumpulan ini kepada risiko bebanan ekonomi.

Dalam usaha membantu mengurangkan beban isi rumah yang terbabit dari segi kewangan melalui perlindungan Takaful, Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) tampil dengan program PruBSN Microtakaful Jariyah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nor Azman Zainal, berkata PruBSN Microtakaful Jariyah adalah satu inisiatif yang ditawarkan melalui PruBSN Prihatin iaitu badan amal yang bukan berasaskan keuntungan PruBSN.

Katanya, ia adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia di mana PruBSN membantu dengan menyediakan perlindungan asas takaful keluarga bertempoh 12 bulan untuk golongan miskin tegar dan miskin tanpa sebarang bayaran.

“Dana bagi program ini dari dana amal PruBSN Prihatin yang bekerjasama dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri untuk mengenal pasti golongan miskin tegar dan miskin yang layak serta berdaftar dengan pangkalan data kemiskinan nasional eKasih dan turut membantu menguruskan pengedaran perlindungan Takaful ini ke seluruh negara.

“Program ini adalah komitmen kami dalam usaha membantu mengurangkan beban isi rumah berikutan akses yang terhad kepada perkhidmatan kewangan yang dilihat sebagai punca golongan miskin tegar dan miskin ini menjadi kumpulan paling terjejas apabila ketua isi rumah ditimpa musibah,” katanya.

Nor Azman berkata, PruBSN akan menyediakan perlindungan takaful keluarga bertempoh 12 bulan secara percuma melalui produk PruBSN Microtakaful Jariyah kepada ketua isi rumah miskin tegar dan miskin yang berusia di antara 19 dan 50 tahun dan berdaftar dengan pangkalan data kemiskinan nasional eKasih.

Beliau berkata, perlindungan takaful keluarga ini akan tamat selepas tempoh setahun dan perlindungan untuk tahun ke seterusnya bergantung sepenuhnya kepada keupayaan dana PruBSN Prihatin.

“Bagi PruBSN Microtakaful Jariyah, kami menyasarkan ketua isi rumah miskin tegar dan miskin berumur di antara 19 dan 50 tahun yang berdaftar dengan pangkalan data kemiskinan nasional eKasih.

“Program ini akan memberi manfaat kepada 12,500 penerima terpilih di Semenanjung Malaysia dan proses pengedaran akan dilaksanakan dalam beberapa fasa pada tahun ini,” katanya.

PruBSN Prihatin dan PruBSN juga menyediakan talian khas untuk penerima membuat sebarang pertanyaan dan penama memaklumkan sebarang tuntutan dengan mudah dan berkesan dengan menghubungi PruBSN Prihatin (03-20531199 dan Mikrotakaful Unit (03-2053 1155.

Untuk maklumat lengkap mengenai PruBSN Mikrotakaful Jariyah, boleh melayari www.prubsn.com.my.