Tidak mampu bayar bil hospital
PASIR PUTEH – Seorang ibu tunggal lega apabila masalah untuk membayar kos rawatan anaknya yang sakit mendapat perhatian Pemuda Umno Pasir Puteh.
Siti Maisarah Umairah Abdul Rahim yang berusia setahun tujuh bulan menghidap masalah cairan dalam kepala.
Ibunya, Rozila Mohammad, 20, berkata, darah beku menyebabkan kepala anaknya membesar selepas dilahirkan.
Katanya, kesempitan hidup, ditambah pula masalah penceraian sejak setahun lalu menyebabkan dia tidak mampu membayar bil hospital yang kini mencecah RM2,228.
“Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada Pemuda Umno yang cukup prihatin. Sumbangan ini meringankan bebanan yang saya hadapi ketika ini kerana Siti Maisarah perlu dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian semula pada 27 April nanti.
“Rawatan susulan perlu dibuat kerana anak saya kerap mengalami kekejangan,” katanya ketika menerima kunjungan Ketua Pemuda Umno, Mohamad Yusri Ismail bersama ahli jawatankuasanya dan pemimpin masyarakat setempat di sini, kelmarin.
Sementara itu, Mohamad Yusri berkata, pihaknya bersetuju menampung kos rawatan yang ditanggung Rozila.
Selain itu katanya, pihaknya sudah merujuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya mempercepatkan permohonan bantuan keluarga terbabit.
“Kita amat bersimpati dengan nasib anak kecil yang menanggung derita ini dan kita berharap ada pihak lain tampil meringankan bebannya,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohamad Yusri berkata, Pemuda Umno Pasir Puteh melaksanakan program turun padang bagi mengesan permasalahan penduduk dan berusaha membantu.
Menurutnya, bantuan yang dihulurkan tidak semestinya berbentuk wang tunai kerana ada sesetengah kes Pemuda Umno bertindak sebagai pemudah cara sehingga masalah yang dihadapi dapat diselesaikan.
Orang ramai yang berhasrat membantu Siti Maisarah Umairah boleh menyalurkan sumbangan ke akaun ibunya melalui Bank Islam Malaysia Berhad (03-090-02-034424-5).