Kaizen Group Malaysia

image

KUALA PILAH – Bapa kepada seorang pelajar yang mengalami kecederaan serius di bahagian tulang belakang terharu apabila menerima sumbangan sebanyak RM1,000 oleh Kelab Lion Kuala Pilah bagi meringankan penderitaan anaknya itu.

Muhammad Zikri Zakaria, 15, yang cedera selepas terjatuh di sebuah sekolah berasrama di Rembau perlu menjalani pembedahan segera bernilai RM11,000.

Kecederaan pada saraf tunjang itu menyebabkan Muhammad Zikri kehilangan keupayaan untuk berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda.

Malah, dia kini hanya mampu terbaring di atas katil.

Bapanya, Zakaria Mohd Jan, 64, berkata, kos rawatan anaknya terlalu tinggi memandangkan mereka bukan dari keluarga yang berada dan hanya tinggal di Rumah Rakyat Dangi.

“Doktor ada beritahu kos pembedahan tinggi kerana perlu menampung 10 biji skru bernilai RM8,500. Itu belum termasuk peralatan lain yang digunakan bagi merawat Zikri.

“Saya buntu memikirkan soal kos pembedahan kerana saya hanya seorang pesara tentera.

“Saya dan ahli keluarga telah berusaha membuat permohonan berbentuk wang ihsan kepada pihak berkaitan namun masih belum ada jawapan lagi,” katanya menzahirkan ribuan terima kasih kepada Kelab Lion kerana sudi menghulurkan bantuan.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Lion Kuala Pilah, Chin Sin Yin, 26, berkata, bantuan itu diharap dapat mengurangkan beban keluarga berkenaan.

“Kita mengetahui kepayahan keluarga ini menerusi kakak mangsa. Kita tidak mengira agama atau bangsa, sekiranya mereka susah, kita akan bantu dan ini selari dengan semangat 1Malaysia.

“Kami berusaha menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka. Walaupun tidak dapat menampung ke semua kos rawatan, setidaknya wang itu dapat menambah jumlah tabung untuk adik Zikri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merayu kepada orang ramai menghulurkan bantuan kepada Muhammad Zikri demi masa hadapannya.