‘Reda jika ALLAH ambil nyawanya’

image

MARANG – “Saya reda jika ALLAH mengambil (nyawanya), tetapi (sebelum itu) saya akan berusaha mengubati penyakit (anak) sehingga sembuh,” kata Norasimah Ismail, 42, ibu kepada Amir Hanafi Zolawi, 15, yang menghidap kanser kelenjar tahap tiga.

Amir Hanafi disahkan menghidap kanser kelenjar atau juga dipanggil limforma lebih kurang seminggu lalu bermula dengan demam yang disangka sekadar alahan biasa bagi seorang remaja sepertinya yang dilahirkan mengidap ataxia atau penyakit saraf.

Anak sulung daripada empat beradik itu juga terpaksa bercuti panjang daripada menghadiri sesi latihannya di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Bukit Payong di sini kerana kini perlu berehat serta berulang-alik mendapatkan rawatan di hospital selain di rumah.

“Apabila diberitahu doktor mengenai penyakit yang dihidapi anak, memang saya tergamam, namun dengan sokongan ahli keluarga dan semua yang ada di sekeliling ia menguatkan semangat saya untuk terus tabah,” katanya.

Sebelum itu, keluarga Norasimah yang menetap di Taman Safiah Murni, Bukit Payong di sini menerima kunjungan pihak pengurusan PDK Bukit Payong diketuai penyelianya, Zaini Sidek dan tiga pembantunya, tengah hari semalam.

Norasimah berkata, kini tugas menjaga Amir Hanafi dilakukan sepenuhnya olehnya kerana suami, Zolawi Salleh, 45, perlu menguruskan kehidupan mereka sekeluarga, selain menumpukan perhatian terhadap pekerjaannya di sebuah bank.

“Saya tidak bekerja, hanya suami seorang bekerja dan buat masa ini, segala perbelanjaan untuk mengurus Amir Hanafi kami usahakan sendiri. Setakat ini kami masih mampu dan tidak mengharapkan sumbangan daripada mana-mana pihak,” katanya.

Sementara itu, Penyelia PDK Bukit Payong, Zaini Sidek berkata, walaupun pihak keluarga Amir Hanafi enggan menerima sumbangan kerana mampu menanggung perbelanjaan anaknya, namun pihaknya tetap ingin membantu pelatih PDK terbabit.

“Kami juga mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan daripada mana-mana pihak yang termasuk perubatan dan nasihat mengenai penyakit dihidapi. Sumbangan kewangan boleh disalurkan terus ke akaun milik Amir Hanafi,” katanya.