Ditinggal suami kerana kanser payudara
KEHILANGAN payudara akibat kanser cukup memberi kesan trauma yang begitu besar buat Linda yang juga merupakan seorang ibu kepada tiga cahaya mata.
Akibat kanser tersebut dia dianggap cacat dan ditinggalkan oleh suaminya.
“Kesakitan kanser ini tiada apa-apa bagi saya berbanding ditinggalkan oleh suami setelah 18 tahun berkahwin,” jelasnya yang berusia 50 tahun dan bekerja sebagai pembantu perubatan.
Linda merupakan salah seorang daripada beratus-ratus wanita Algeria yang ditinggalkan oleh suami atau tunang masing-masing setelah didiagnosis menghidap kanser payudara.
Beribu-ribu wanita di Algeria didapati menghidapi kanser payudara setiap tahun.
Pembedahan
Ramai antara mereka yang terpaksa mengambil pilihan untuk membuang sebahagian daripada payudara tersebut yang seing dianggap simbol kewanitaan.
Salah seorang pesakit yang dikenali sebagai Hayat berkata, dia ditinggalkan tunangnya setelah diberitahu akan menjalani pembedahan untuk membuang payudaranya.
“Dia memberitahu mahu seorang wanita yang sempurna sebelum meninggalkan saya,” jelasnya yang baru berusia 30 tahun.
Sementara itu, Ketua Badan Amal Kanser, Samia Gasmi berkata, ramai wanita di negara itu ditinggalkan oleh suami mereka setelah didiagnosis menghidap kanser payudara.
Menurutnya, mereka ditinggalkan bersendirian untuk mendapatkan rawatan untuk penyakit tersebut.
“Ada wanita yang berhadapan dengan kemurungan akibat masalah ini.
“Terdapat wanita yang terpaksa tinggal di tempat perlindungan setelah ditinggalkan oleh suami,” jelasnya.
Di Algeria kanser payudara dipandang sebagai satu perkara yang peribadi.
Pesakit enggan bercakap dan kadangkala mereka menyembunyikan daripada pengetahuan keluarga.
“Wanita-wanita di negara ini melihat penyakit kanser payudara yang dihadapi sebagai sesuatu yang memalukan,” kata Gasmi.
Terdapat wanita yang mula memakai selendang ketika menjalani kemoterapi supaya keluarga suaminya tidak tahu rambutnya mula gugur akibat rawatan tersebut.
Melawan kanser
Dalam pada itu, ahli sosiologi, Yamina Rahou berkata, rasa malu itu datang daripada rasa sakit akibat kehilangan bahagian tubuh yang melambangkan diri amputasi seorang wanita.
“Pesakit yang telah membuang payudara berasa mereka tidak lagi memenuhi tuntutan sebagai seorang wanita dalam masyarakat,” katanya yang bertugas sebagai penyelidik di Pusat Penyelidikan Antropologi Sosial dan Kebudayaan di Oran.
Sementara itu, ahli agama, Kamel Chekkat menegaskan bahawa lelaki yang meninggalkan isteri yang telah membuang payudara akibat kanser tidak bertanggungjawab dan tidak mengamalkan ajaran Islam sebaiknya.
“Islam menyeru pasangan untuk saling menyokong antara satu sama lain dan seorang lelaki yang mulia harus menjaga isterinya,” jelasnya.
Saida seorang doktor yang kini berusia 55 tahun turut mengalami nasib yang sama.
Dia dan suaminya bertemu ketika belajar bersama di universiti dan berkahwin atas dasar cinta.
“Apabila saya menjalani pembedahan membuang payudara untuk melawan kanser ini, suami telah menceraikan saya ketika saya masih di hospital.
“Ia memberi satu tamparan yang hebat buat saya dan saya bagaikan tiada tenaga untuk melawan segalanya pada waktu itu,” jelasnya.
Dalam pada itu, profesor dan ahli genetik kanser di Universiti Algiers, Farid Cherbal berkata, terdapat antara 9,000 hingga 10,000 kes kanser payudara didiagnosis setahun di Algeria.
Menurutnya, jumlah itu lima kali lebih banyak berbanding 20 tahun lalu.
“Perubahan gaya hidup seperti kurangnya aktiviti fizikal, diet tidak sihat dan merokok punya kepada masalah ini.
“Setahun dianggarkan sekitar 3,500 wanita Algeria mati akibat penyakit ini,” jelasnya. – AFP
[ARForms id=100]