Tidak sangka anak ambil insurans

screen-shot-2016-10-18-at-5-59-19-pm

MELAKA – Ibu kepada pemuda yang meninggal dunia selepas mendaki Gunung Datuk di Rembau, Negeri Sembilan, Mac lalu, Fauziah Omar, 52, menerima cek pampasan daripada syarikat Prudential BSN Takaful Berhad berjumlah RM43,000.

Menurut Fauziah yang merupakan seorang guru, dia pada awalnya langsung tidak mengetahui tentang anaknya, Allahyarham Muhammad Hannan Kamarzaman, 26, ada mengambil perlindungan takaful disebabkan arwah baharu sahaja mula bekerja.

“Selang beberapa bulan baharulah arwah memberitahu dia mengambil perlindungan takaful itu sebenarnya dengan niat mahu menolong kawannya yang baru sahaja berkecimpung sebagai ejen di syarikat berkenaan.

“Bagaimanapun cek pampasan ini akan saya manfaatkan untuk melakukan infak termasuk membantu ahli keluarga yang susah, semoga ia memberikan kebaikan untuk arwah,” katanya selepas menerima cek pampasan kematian daripada wakil Prudential BSN Takaful Berhad, Abdul Rahman Idrus di rumahnya, di Kampung Baru, Bukit Sedanan, Jasin di sini, hari ini.

Sinar Harian bertarikh, 20 Mac lalu melaporkan, Muhammad Hannan meninggal dunia selepas menamatkan pendakiannya setinggi 885 meter bersama 30 rakan yang lain pada 19 Mac lalu.

Allahyarham yang bekerja sebagai seorang jurutera di sebuah syarikat swasta dikatakan, tidak sedarkan diri setelah tertidur selama kira-kira 30 minit selepas keletihan melakukan aktiviti pendakian tersebut.

Ibunya berkata, anaknya Muhammad Hannan adalah anak sulung dari lima beradik merupakan seorang yang aktif bersukan serta meminati sukan lasak sejak dari sekolah lagi sehinggalah di universiti dan alam pekerjaan.

“Mak cik tidak sangka dia pergi dulu, sebab dia seorang yang aktif bersukan misal bermain futsal, ragbi, hoki dan aktiviti lasak seperti mendaki gunung.

“Dialah anak harapan keluarga malah arwah seorang yang pandai mengaji al-Quran serta selalu menjadi imam di kalangan keluarga,” katanya.

Sementara itu, wakil syarikat takaful berkenaan, Abdul Rahman berkata, arwah mula mendaftar untuk mengambil pelan perlindungan takaful tersebut pada Februari 2014 lalu.

Turut sama pada majlis penyerahan cek berkenaan, Unit Manager dari agensi Alisra’ Associates Sdn Bhd Ashabulyamin Ayoub.