Kaizen Group Malaysia

image (1)

ALOR SETAR – Seorang bayi mengidap penyakit jantung berlubang berusia dua bulan memerlukan dana kewangan RM60,000 dalam tempoh tiga minggu.

Ibunya, Shaliza Shaari, 39, berkata, dia dimaklumkan doktor pada 25 Februari lalu bahawa anak perempuannya, Nurul Farhana, boleh menjalani pembedahan di Hospital Gleneagles, Pulau Pinang.

“Doktor berpesan bahawa mereka sudah boleh melakukan pembedahan untuk anak ketiga saya dalam tempoh tiga minggu dari tarikh temu janji, jikalau wang mencukupi.

“Namun, saya buntu memikirkan kaedah mengumpulkan sejumlah wang diperlukan kerana hanya bekerja sebagai pembantu stesen minyak berdekatan rumah sahaja,” katanya.

Melalui Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Alor Mengkudu, Sinar Harian sempat menyelami penderitaan Nurul Farhana akibat masalah jantung berlubang itu.

Katanya, suaminya, Mohd Ispari Abdul Hamid, 39, yang bekerja sebagai tukang kebun sebuah sekolah tidak mampu membiayai kos pembedahan kerana memiliki tanggungan lain.

Shaliza berkata, mereka sekeluarga difahamkan ada dua lubang pada jantung anaknya, selain saluran ke jantung Farhana didakwa sempit.

“Hati seolah-olah dirobek ketika menerima perkhabaran jantung anak bermasalah.

“Saya tidak rela meninggalkan dia selama lapan jam setiap hari, namun terpaksa jua demi komitmen lain,” katanya.

Katanya, mereka tidak mampu mengumpulkan kos pembedahan anaknya segera, sekali gus mengharapkan orang ramai membantu meringankan kesulitan itu.