Kaizen Group Malaysia

image (2)

JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung berlubang mengharapkan simpati orang ramai untuk mendapatkan dana sejumlah RM45,000 bagi tujuan pembedahan.

Ibunya, Nor Azirah Mohd Nasir Kok, 28, berkata, anak tunggalnya, Nia Ryana Zul Azri yang berusia dua tahun tujuh bulan dikesan menghidap penyakit jantung berlubang sejak dilahirkan.

Menurutnya, penderitaan anaknya yang mesra dipanggil Nia semakin serius sejak berumur dua tahun kerana keadaan jantung yang semakin membesar.

“Mengalir air mata saya setiap kali Nia mengadu dadanya sakit selepas terlalu aktif bermain, tapi apa boleh saya buat hanya mampu berdoa dan mengharap ada insan yang simpati membiayai dana pembedahan anak saya.

“Pihak hospital anggarkan kos RM40,000 hingga RM45,000 perlu disediakan untuk pembedahan segera memandangkan keadaan jantung Nia semakin hari semakin membesar,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Nor Azirah berkata, keadaan tumbesaran anaknya terbantut sejak dari kecil sehingga beratnya di bawah 10 kilogram meskipun sudah berusia lebih dua tahun kesan daripada penyakit jantung berlubang yang dihidapinya.

Katanya, pendapatan suami sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Pasir Gudang sekadar cukup makan mereka tiga beranak dan jauh sekali dapat menampung dana pembedahan anaknya.

“Saya sudah melakukan pelbagai usaha untuk mendapatkan dana pembiayaan bagi melakukan pembedahan Nia termasuk ke jabatan bertanggungjawab, namun sehingga kini belum membuahkan hasil.

“Saya rayu simpati orang ramai agar dapat menghulurkan sumbangan supaya Nia dapat menjalani pembedahan secepat mungkin.

“Orang ramai yang sudi membantu boleh hubungi saya di talian 012-7153296” katanya.