Kaizen Group Malaysia

Petaling Jaya: Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkemungkinan menjejaskan harga produk insurans pada masa depan kerana secara umumnya ia meningkatkan kos produk dan menurunkan margin dalam segmen kawalan tarif seperti insurans Motor dan Kebakaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Insurans Malaysia (IIM) Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata, perkara terbabit akan berlaku berikutan produk dan perkhidmatan disediakan syarikat insurans dipercayai dikecualikan daripada GST dan tidak layak bagi tuntutan kredit cukai input.

“GST memang diakui akan menjejaskan sesetengah perkara dalam industri ini, namun ia perlu dilihat secara keseluruhan kerana cukai ini akan memberi manfaat kepada pengguna dalam tempoh jangka panjang,” katanya pada Konvensyen Ejen Insurans Am di sini, semalam.

Acara tahunan yang menghimpunkan ejen insurans am itu turut menyaksikan kehadiran Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Mark Lim.

Mengulas lanjut mengenai impak GST terhadap insurans am, beliau berkata kos tuntutan bagi insurans dijangka menurun dalam satu tempoh masa tertentu selepas pelaksanaan GST, sekali gus membawa perubahan kepada statistik keseluruhan industri.

“Sebagai contoh, tuntutan insurans kenderaan bermotor membabitkan dua perkara iaitu alat ganti dan buruh di mana apabila individu membayar tuntutan kepada pemilik bengkel maka mereka akan mengenakan caj cukai perkhidmatan pada kadar harga tetap.

“Melalui pelaksanaan GST, mereka boleh menuntut pembayaran balik melalui pulangan input cukai apabila membeli alat ganti daripada pemborong dan ia menyumbang kepada penurunan harga tuntutan secara keseluruhan,” katanya. Sementara itu, Ahmad Maslan berkata, kementerian tetap yakin bahawa sasaran minimum untuk mendaftarkan 123,00 syarikat di bawah sistem GST akan tercapai berdasarkan jumlah purata pendaftaran sebanyak 1,000 hingga 1,400 syarikat dalam tempoh satu hari.

“Sehingga hari ini, sebanyak 39,047 syarikat sudah pun berdaftar di bawah sistem GST dan menyeru supaya syarikat tidak mendaftar pada saat-saat akhir memandangkan tempoh akhir pendaftaran hanya tinggal kira-kira 100 hari iaitu pada 31 Disember ini,” katanya.