Kaizen Group Malaysia

KUCHING 20 Sept. – Bilangan pesakit buah pinggang dan mempunyai insurans di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) meningkat pada kadar 17 hingga 20 peratus setiap tahun.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, Perkeso telah meluluskan sebanyak 10,004 permohonan untuk mendapatkan kemudahan dialisis daripada penerima-penerima ilat dan bukan ilat selain melantik 449 buah pusat dialisis untuk rawatan mereka di seluruh negara.

Katanya, bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, kerajaan mengeluarkan perbelanjaan RM81.13 juta untuk membiayai kos rawatan dialisis dan dijangka terus meningkat menjelang Disember ini.

“Keadaan ini amat membimbangkan kerana implikasi penyakit buah pinggang bukan hanya mengakibatkan pesakit kehilangan pekerjaan atau pendapatan, malah turut menjejaskan keluarga mereka yang kehilangan tempat bergantung.

“Justeru, kerajaan sentiasa mengambil langkah membantu pesakit ini khususnya yang berpendapatan rendah agar mereka dapat meneruskan kehidupan seperti pekerja normal lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis penyerahan dua buah mesin hemodialisis kepada Persatuan Buah Pinggang Sarawak (KAS)-Rotary-NKF Cawangan Kuching di sini hari ini.

Mengulas lanjut Richard berkata, kerajaan turut menyedari bilangan pesakit yang menderita akibat penyakit buah pinggang semakin meningkat dan jumlah tersebut tidak dapat diimbangi dengan mesin hemodialisis Perkeso.

Katanya, berdasarkan rekod Perkeso, seramai 438 pesakit buah pinggang berinsurans menjalani rawatan dialisis dan kos rawatan tersebut ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

“Bagi mengatasi masalah tersebut, Perkeso telah menjalankan program menderma mesin hemodialisis kepada 118 pusat kendalian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan 331 swasta.

“Setakat ini kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM17.24 juta bagi membeli 448 mesin hemodialisis dan menyerahkannya kepada pusat-pusat rawatan tersebut di seluruh negara,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140921/dn_12/Pesakit-buah-pinggang-meningkat-20-peratus#ixzz3Dxdh4Xz7
© Utusan Melayu (M) Bhd