Kaizen Group Malaysia

KUALA LUMPUR 8 Ogos – Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) mencatatkan peningkatan penguasaan pasaran sebanyak empat peratus kepada 31 peratus pada suku pertama 2014 berbanding 27 peratus yang direkodkan pada keseluruhan 2013.

Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Azim K. Mithani berkata, pertumbuhan agen dan peningkatan produktiviti pada suku terbabit merupakan pemacu utama dalam memperoleh pencapaian tersebut. Katanya, perniagaan bagi suku kedua tahun ini adalah memberangsangkan dan keputusan prestasi bagi suku terbabit akan dikeluarkan dalam masa dua hingga tiga minggu lagi.

“Kami perlu kekal fokus dalam apa yang kami lakukan dan kami yakin dapat mencapai prestasi yang baik pada tahun ini,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri PruBSN di sini hari ini. Azim berkata, pihaknya merancang untuk melancarkan kira-kira dua lagi produk baharu menjelang hujung tahun ini.

“Ketika ini, kami sudah mempunyai rangkaian produk yang baik yang telah menjadi pendorong kepada prestasi syarikat yang baik. “Saya berpendapat tambahan dua produk baharu ini akan membantu mengukuhkan lagi syarikat,” ujarnya.

Dalam pada itu, majlis rumah terbuka yang diadakan bagi meraikan Aidilfitri dan mengeratkan silaturahim tersebut telah dihadiri oleh kakitangan PruBSN, rakan niaga korporat, media dan juga anak-anak yatim dari Pusat Jagaan Suci Rohani Bandar Damansara dan Pertubuhan Rahoma Taman Melati.

sumber : http://utusan.com.my/
Oleh NUR NAZLINA NADZARI