Kaizen Group Malaysia

Bukan mudah untuk mengenang kembali detik sukar apabila menerima perkhabaran anak yang dilahirkan mengalami komplikasi jantung berlubang (Verticular Septal Defect (VSD).

Namun, itulah yang perlu ditempuh Siti Salina Samaun, 32, selepas melahirkan anak ketiganya, Nazren Hakim Mohd Zamawi (Akim) tiga tahun lalu.

Bukan mudah untuk mengenang kembali detik sukar apabila menerima perkhabaran anak yang dilahirkan mengalami komplikasi jantung berlubang (Verticular Septal Defect (VSD).

Namun, itulah yang perlu ditempuh Siti Salina Samaun, 32, selepas melahirkan anak ketiganya, Nazren Hakim Mohd Zamawi (Akim) tiga tahun lalu.
Disebabkan keadaan anaknya tidak stabil dan mengalami masalah kuning (jaundis) berpanjangan selama 27 hari, dia diminta merujuk kes terbabit ke Hospital Tunku Jaafar Seremban (HTJ) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Walaupun ketika itu dia masih dalam tempoh berpantang, digagahi juga berulang alik ke hospital kerana hampir setiap hari darah anaknya perlu diambil untuk diuji, sejak si kecil berusia enam hari.
“Kemudian doktor menemui dua lubang di jantung anak saya, satunya kecil dan satu lagi besar. Selepas dua bulan lubang kecil kelihatan tertutup tetapi lubang besar terbabit makin membesar seperti saiz duit syiling 10 sen.
“Anak saya tidak lagi aktif, cepat penat dan sering sesak nafas apabila menyusu. Hampir setiap malam nafasnya berbunyi kasar tanda Akim tidak dapat bernafas dengan sempurna,” katanya.

Siti Salina berkata, ibu mana tidak sedih mengenangkan keadaan kesihatan anak tetapi dia perlu menguatkan semangat dan berusaha agar anaknya kembali pulih, seterusnya dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain seusianya.

Dia kemudiannya cuba meminta nasihat pakar kanak-kanak di Hospital Serdang dan dinasihatkan merujuk masalah itu kepada pakar jantung kanak-kanak di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur memandangkan HTJ tidak mempunyai pakar berkelayakan untuk merawat penyakit anaknya itu.

“Doktor mengesahkan lubang sedia ada itu kian membesar dan kedudukannya berdekatan dengan injap jantung. Jika pembedahan tidak dibuat dengan segera, kemungkinan lubang akan bertambah besar dan mengakibatkan injap jantung pula bocor.

“Sekiranya itu berlaku, Akim terpaksa menggunakan injap palsu dan perlu menukarnya 10 tahun sekali,” katanya ketika ditemui di majlis meraikan kehidupan melalui lukisan yang diadakan di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Namun, itu adalah kenangan tiga tahun lalu dan kini anaknya kembali aktif selepas menjalani tiga pembedahan. Walaupun dua bulan selepas pembedahan doktor menemui kebocoran pada injap jantungnya pula tetapi ia masih di peringkat pertama.

Walaupun tumbesaran fizikalnya sempurna tetapi Akim mengalami sedikit kelewatan dalam pertuturannya. Malah, selepas pembedahan juga keadaan matanya sedikit juling.

“”Ia bukan masalah besar bagi saya, apa yang penting ialah Akim sihat. Kini Akim amat aktif dan kuat menyusu tetapi dia cepat penat terutama selepas bermain.

“Namun, ia tidak mengehadkan aktivitinya terutama ketika bermain bersama abang dan kakaknya. Saya pula yang risau melihatnya,” katanya.

Sementara itu, bebanan perasaan ibu muda Soh Mee Ying, 26, lebih hebat kerana anak keduanya, Megan Tan Kien Ching kini berusia 14 bulan mengalami masalah jantung, usus dan sawan.

Dilahirkan tidak cukup bulan iaitu pada usia kandungan 32 minggu dengan berat 1.9 kilogram dan hari terawal hidupnya hanyalah di hospital.

“Saya sendiri hanya berpeluang memegangnya apabila Megan berusia enam bulan. Doktor tidak menggalakkan sebarang sentuhan kerana risau bayi saya mengalami jangkitan kuman.

“Selain itu, Megan juga mengalami keadaan jantung terbalik iaitu kedudukannya berada di bahagian kanan dadanya,” katanya.

Masalah sawan yang dihadapinya menyebabkan mata bayi comel terbabit kabur dan tidak boleh menumpukan perhatiannya pada satu titik fokus objek di hadapannya.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, hingga kini tumbesaran fizikal Megan amat terhad dan dia juga belum boleh duduk seperti bayi seusianya hanya mampu membalikkan diri saja.

“Tetapi Megan tidak banyak ragam. Walaupun pada peringkat awal dia hanya mampu meminum susu melalui tiub yang disalurkan melalui perutnya tetapi kini Megan sudah mula meminum susu menggunakan botol.

“Ia satu peningkatan memberangsangkan dan hingga kini masih lagi dalam proses belajar. Saya tidak pernah menyangka Megan mampu bertahan hingga kini tetapi atas bantuan diberikan saya yakin dia mampu membesar dengan sempurna,” katanya.

Seramai 14 keluarga menyertai majlis berkenaan bagi memperlihatkan melalui bantuan diberikan projek komuniti Hospital Gleneagles Kuala Lumpur yang dikenali sebagai ‘A Heart for A Heart’ dilakukan dengan kerjasama The New Straits Times Press (M) Bhd, ia mampu mengubah segalanya.

Malah, anak mereka kini mampu menjalani kehidupan seperti biasa seperti bermain, belajar dan bersukan tetapi semua aktiviti terbabit perlu dilakukan secara bersederhana bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Majlis terbabit turut disertai pelukis terkemuka, Jake Goh yang mempamerkan kemahiran melukis dengan cara tersendiri.

Malah, dia bersama lebih 20 kanak-kanak bersama-sama melakarkan lukisan kreatif indah yang akan dilelong bagi mengutip dana untuk diserahkan kepada projek komuniti terbabit.

Sementara itu, menurut perunding kardiologi kanak-kanak hospital berkenaan, Dr Chan Tee Ling berkata, punca sebenar penyakit jantung dalam kalangan kanak-kanak masih tidak diketahui.

Namun, ada banyak faktor yang boleh menyumbang kepada keadaan berkenaan.
Meskipun faktor genetik atau keturunan antara faktor yang dikenal pasti tetapi ia bukanlah jaminan pasti seseorang kanak-kanak itu akan mendapat masalah jantung.

“Keadaan ibu ketika mengandung dan mengalami komplikasi seperti rubela, kencing manis tersilap makan ubat seperti ubat sawan serta ubat kemurungan turut mempengaruhi.

“Selain itu, tabiat merokok dan mengambil alkohol secara berlebihan ketika hamil juga menjadi faktor menyebabkan bayi yang dikandungnya mengalami masalah jantung,” katanya.

Oleh itu, Dr Chan berkata, penjagaan kesihatan si ibu perlu dilakukan sejak awal iaitu sebaik mengetahui mereka mengandung (trimester pertama atau tiga bulan pertama) bagi mengurangkan risiko kesihatan pada bayi.

Tempoh trimester pertama kandungan ini amat penting kerana ia membabitkan pembentukan awal organ bayi dalam kandungan. Inilah sebabnya kesedaran awal terhadap penjagaan diri ketika hamil amat penting dan tidak boleh dipandang ringan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/05