Pembedahan Rizqi terpaksa ditangguh
PETALING JAYA – Pembedahan bayi berusia setahun, Muhammad Rizqi Shahrulnizam yang menderita penyakit jantung berlubang sejak dilahirkan dijangka dijalankan pada 19 Oktober ini.
Menurut ibu bayi berkenaan, Ramiza Mohd Hamdan, 28, selepas mengadakan perbincangan dengan doktor, pihak berkenaan bersetuju untuk melanjutkan tempoh pembedahan anaknya disebabkan faktor kewangan.
Menurut Ramiza, doktor telah membuat keputusan untuk memberikan sedikit masa kepada pihaknya.
“Kos keseluruhan pembedahan RM60,000. Kami masih berusaha sedaya upaya mengumpul jumlah itu demi nyawa Rizqi,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Ramiza berkata, setakat ini, wang simpanan bagi kos pembedahan tersebut hanya ada RM2,000 sahaja.
“Saya amat mengharapkan bantuan NGO atau mana-mana pihak yang ikhlas.
“Kasihanilah anak saya, dia dah terlalu lama menderita,” katanya.
Menceritakan perkembangan terbaru Rizqi, Ramiza berkata, sejak awal minggu ini, lubang najis anaknya didapati sering berdarah.
Selepas menjalani pemeriksaan semalam, doktor memaklumkan lubang najis Rizqi berkemungkinan perlu dibedah semula selepas ini.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan mengenai penderitaan yang ditanggung Rizqi berikutan penyakit jantung berlubang yang dihidapinya.
Rizqi juga pernah menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum ini bagi membesarkan saluran najisnya yang bermasalah.
Dalam pada itu, mana-mana pihak yang ingin menyampaikan sumbangan boleh berhubung terus dengan Ramiza di talian, 012-2517002 atau melalui akaun bank CIMB 12600005446209 (Ramiza Mohd Hamdan).