Kaizen Group Malaysia

PETALING JAYA – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Demikian perumpamaan untuk menggambarkan derita yang ditanggung oleh Irdina Qalesya Harun Zain, 5, atau mesra disapa Qalesya yang dilahirkan hanya dengan tiga injap jantung.

Berikutan itu, sejak dilahirkan Qalesya sering mengalami masalah kesihatan berikutan darah bersih akan bercampur dengan yang kotor.

“Saya dan suami berharap benar agar ada pihak yang prihatin meringankan derita anak kami,” rayu Noor Shahbana Wahab, 28.

Menurut Noor Shahbana, tambah memeritkan apabila masalah injap jantung ini menyebabkan otak Qalesya bernanah.

“Qalesya pernah jalani pembedahan untuk sedut nanah Mei lepas, tapi doktor beritahu kami masalah yang sama mungkin berulang,” katanya dengan nada sedih.

Tambahnya lagi, jantung kiri anak keduanya itu juga lebih kecil berbanding sebelah kanan disebabkan kekurangan satu saluran injap.

“Anak saya juga terpaksa diperiksa setiap bulan di tiga hospital berbeza,” kata Noor Shahbana yang terpaksa berulang alik ke Institut Jantung Negara (IJN), Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Ampang.

“Kos setiap sesi pemeriksaan RM200. Jumlah ini membuatkan kami tertekan kerana pendapatan bulanan diperolehi suami tidak seberapa,” katanya.

Menurutnya, gaji suaminya sebagai pemandu di salah sebuah syarikat swasta tidak mencukupi kerana adik Qalesya, Muhammad Wildan Nabil, 2, mengidap asma dan turut memerlukan rawatan.

“Saya tak boleh nak bantu suami dengan bekerja sebab kena beri perhatian pada anak-anak. Jadi dia seorang sahajalah yang menanggung semua,” katanya.

Apa yang menambah kerisauan Noor Shahbana ialah Qalesya perlu menjalankan pembedahan di India secepat mungkin untuk pulih.

“Kos pembedahan mencecah RM40,000 dan ini merunsingkan hati kami. Mana nak dapat duit sebanyak itu,” tambahnya pilu.

Noor Shahbana turut mengakui, tumpuan mereka kepada anak sulung berusia 8 tahun juga terjejas kerana terpaksa memberi perhatian kepada dua adiknya.

“Saya cuma berdoa agar ada di antara doktor di Malaysia yang sanggup bantu jalankan pembedahan dengan mengurangkan kos dan dapatlah Qalesya menjalani pembedahan di sini saja,” katanya sambil memberitahu bantuan diterima setakat ini hanya daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) berupa barangan keperluan harian.

Katanya, dia dan suami pernah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun dimaklumkan mereka belum layak menerima.

“Kami amat berharap sumbangan dari mana-mana pihak yang ikhlas membantu demi untuk menyelamatkan nyawa Qalesya,” katanya penuh mengharap.

Sementara itu, mana-mana pihak yang ingin menyampaikan sumbangan secara terus boleh berbuat demikian dengan menghubungi Noor Shahbana di talian 017-3758167.