Kaizen Group Malaysia

PARIT BUNTAR – Perak mencatatkan penambahan 2,000 kes baharu pesakit pelbagai jenis kanser setiap tahun berdasarkan statistik kajian Jabatan Kesihatan Negeri Perak dari 2007 hingga 2013.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perak (Unit Penyakit Tidak Berjangkit), Dr Asmah Zainal Abidin berkata, merujuk statistik sama, pihaknya mendaftarkan hampir 10,000 kes kanser di mana sebanyak 55 peratus daripadanya terdiri daripada pesakit wanita, manakala 45 peratus pesakit lelaki.

Menurutnya, kanser payudara dikenal pasti penyakit kanser paling banyak dikesan dalam kalangan wanita manakala bagi kaum lelaki pula melibatkan kanser paru-paru.

“Tren kanser di Perak hampir sama dengan tren di seluruh negara di mana kanser payudara dan paru-paru paling tinggi dihidapi penduduk negeri ini, diikuti kanser usus besar (kolorektor).

“Rawatan kanser kebiasaannya mengambil masa panjang dan sukar untuk disembuhkan.

“Justeru, tindakan pencegahan awal amat penting bagi meningkatkan peluang survival pesakit terhadap ancaman kanser,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Karnival Hari Kanser Sedunia Peringkat Negeri Perak, kelmarin.

Turut hadir, Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Noor Azmi Ghazali; Pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Kerian, Dr Thaherah Nor Mohd Kassim dan Yang Dipertua Majlis Daerah Kerian (MDK), Abdul Khair Ahamad.

Dr Asmah berkata, berdasarkan kajian pihaknya, sebanyak 40 peratus pesakit kanser baharu menerima rawatan pada peringkat tiga dan keempat kanser.

Menurutnya, kelewatan itu menyebabkan peluang survival mereka untuk sembuh amat tipis.

Dr Asmah berkata, sebanyak 30 peratus kes kanser boleh dirawat sekiranya pesakit menjalani terapi pada peringkat awal.

Menurutnya, terdapat pelbagai ujian saringan ditawarkan hospital dan klinik kesihatan bagi membolehkan rakyat negara ini mengesan penyakit kanser.