Kaizen Group Malaysia

13913719_10202240075641376_40585025242656399_o

HIBAH mungkin sesuatu yang asing dan jarang didengar berbanding zakat, wakaf, sedekah atau wasiat. Namun, hibah bukanlah instrumen kewangan baharu dalam Islam.

Menurut undang-undang Islam seseorang itu dibenarkan memberi atau menghadiahkan sebahagian atau seluruh harta kekayaannya ketika dia masih hidup kepada orang lain tanpa sebarang paksaan serta mengharapkan sebarang balasan.

Pemberian semasa hidup ini dikenali sebagai ‘hibah’ ataupun bermaksud ‘hadiah’. Dalam hukum Islam jumlah harta seseorang yang dapat dihibahkan itu tidak terhad.

Hal ini berbeza dengan pemberian seseorang melalui wasiat yang terbatas pada satu pertiga daripada harta peninggalan dan tidak boleh mewasiatkan harta kepada seseorang waris kecuali dengan persetujuan semua waris yang lain.

Hibah merupakan salah satu langkah yang sesuai digunakan dalam pembahagian harta di kalangan umat Islam iaitu di antara waris dan sesama ahli keluarga.

Hibah telah diguna pakai sebagai konsep tambahan kepada produk-produk takaful yang diamalkan oleh kebanyakan pengendali takaful.

Misalnya melalui produk pelan pendidikan, ibu atau bapa sebagai pembayar caruman (pemberi hibah) dan anaknya merupakan orang yang dilindungi (penerima hibah). Hibah seperti ini diharuskan kerana semua rukun dan syarat dapat dipatuhi.

Selain itu, ada pengendali takaful yang memberikan manfaat dalam bentuk hibah kepada peserta sebagai ganjaran atas kejayaan peperiksaan tertentu yang dicapai oleh peserta.

Hibah jenis ini juga jelas dan adalah tidak bercanggah.

Terdapat juga pelaksanaan hibah menerusi manfaat takaful iaitu waris akan menerima manfaat jika peserta mengalami musibah hingga menyebabkan kematian. Andai kata peserta meninggal dunia, jumlah perlindungan akan dihibahkan kepada waris beliau.

Sebagai contoh, sekiranya seorang suami ingin menghibahkan keseluruhan manfaat takaful kepada isterinya, maka isterinya itu akan mendapat keseluruhan jumlah perlindungan tersebut.

Hal ini kerana penamaan hibah atau pemberian tersebut telah ditentukan ketika peserta masih hidup. Bagi si isteri pula dia menerima manfaat takaful berasaskan konsep hibah bersyarat di mana manfaat tersebut akan diberikan secara terus dan dipindah milik kepadanya setelah suami meninggal dunia dan tidak menjadi sebahagian harta pusaka peserta.

Sebaliknya jika suami yang merupakan peserta melantik isteri sebagai wasi (pemegang amanah), maka tanggungjawab isteri untuk membahagikan wang daripada jumlah perlindungan kepada waris secara faraid.

Bagaimana pula pengagihan harta kepada mereka yang memerlukan tetapi tidak berhak mendapat harta secara faraid ataupun menerusi wasiat?

Sebagai contoh, pemberian harta kepada anak angkat. Pengagihan harta boleh dilakukan melalui pemberian hibah dan mereka akan turut mendapat manfaat daripadanya.

Hibah dapat melancarkan pembahagian harta, merapatkan ikatan persaudaraan dan pertalian kasih sayang dalam masyarakat hari ini.

Sikap saling membantu dan berkasih sayang akan terus terjalin dalam sesebuah keluarga dengan penuh kerukunan walaupun setelah ketiadaan salah seorang ahli keluarga,  terutamanya ketua keluarga yang bertanggungjawab menanggung segala keperluan keluarganya.