‘Tolong anak kami’
Kuala Lumpur: “Saya hanya mahu melihat anak saya sembuh dan membawanya pulang ke rumah kerana sudah terlalu lama berada di hospital,” kata ibu kepada bayi yang memerlukan bantuan pembedahan paru-paru dan jantung, Farah Shahida Mohd Taib, 27.
Menurutnya, anaknya Mikayla Tihany Muhammad Razali, lima bulan menghidap masalah jantung berlubang dan injap saluran darah ke paru-paru yang sempit.
“Anak saya hanya pernah pulang ke rumah sekali selepas lahir, namun terpaksa dimasukkan ke hospital semula hingga hari ini,” katanya ketika ditemui di Hospital Gleneagles di sini, semalam.
Penyambut tetamu itu berkata, anak keduanya bergantung kepada oksigen dibekalkan dan hanya boleh minum susu melalui tiub.
“Pembedahan kali pertama ini menelan kos RM20,000 dan saya mengharapkan orang ramai dapat menghulurkan bantuan untuk membantu anak saya,” katanya.
Sementara itu, Jayden Tan Jai Lok, sembilan bulan juga memerlukan bantuan RM40,000 untuk pembedahan membetulkan saluran darahnya yang tersimpul.
Ibu kanak-kanak itu Yap Chui Moi, 25, berkata, keadaan itu menyebabkan anaknya sukar bernafas dan memerlukan oksigen apabila badannya menjadi kebiru-biruan.
“Jayden tidak boleh makan kerana menyebabkannya sesak nafas dan hanya minum susu sejak kecil hingga sekarang,” katanya.
Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh mengirimkan cek atas nama The New Straits Times Press (M) Berhad dengan mencatat nama pesakit di belakang cek dan dihantar ke alamat Jabatan Kewangan/ Unit Kebajikan NSTP, The New Straits Times Press (M) Berhad, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur.