Kaizen Group Malaysia

Kebanyakkan manusia di luar sana tidak faham apa yang dikatakan takaful, ada sebahagian mereka beranggapan bahawa takaful ini sama dengan insuran konvensional dan hanya perlindungan semata-mata. Ada pula orang yang jahil tentang takaful memberi hujah dan menyamakan takaful dengan insuran dan ia menjadi haram kerana ia terlibat dengan riba, perjudian dan sebagainya. Banyak lagi andaian yang dibuat oleh mereka yang jahil, habis semua ulamak atau pakar-pakar ekonomi Islam dianggap bersyubahat dan berdusta untuk mencari keuntungan dunia. Persoalan saya, orang yang buat komen dengan pakar ekonomi Islam mana yang lebih berilmu dan alim. Sudah tentu pakar ekonomi Islam yang tahu kaedah mengeluarkan hukum bagi masalah-masalah baru yang timbul pada zaman sekarang.

amana-takaful-concept

Umat Islam dikelilingi dengan Hutang

Boleh dikatakan 90% umat Islam Malaysia terlibat dengan pelbagai hutang, di antara hutang yang dimaksudkan ialah hutang rumah, kereta, peribadi dan sebagainya. Memang semasa kita mengambil loan atau pembiayaan peribadi diwajibkan kita mengambil takaful sekali untuk melangsaikan segala hutang yang ada apabila berlaku kematian kepada diri kita. Tapi bagaimana kalau berlaku penyakit dan lumpuh sebahagian anggota badan kita? Takaful loan tidak cover kerana tidak berlaku kematian. Setiap bulan kita dikehendaki membayar hutang, waktu itu juga kita kehilangan pekerjaan, isteri pula tidak bekerja, kalau pun bekerja pendapatannya tidak cukup untuk menampung kos rumahtangga dan rawatan kita apatah lagi hendak membayar hutang. Dalam Islam membayar hutang adalah wajib seperti Sabda Rasulullah SAW :

“Jiwa seorang mukmin tergantung kerana hutangnya, sampai hutang itu dilunaskannya.” (Riwayat At-Tirmidzi)

Lagi Sabda Rasulullah SAW :

“Demi yang jiwaku ada ditanganNya, seandainya seorang laki-laki terbunuh di jalan Allah, kemudian dihidupkan lagi, lalu dia terbunuh lagi dua kali, dan dia masih ada hutang, maka dia tidak akan masuk syurga sampai hutang itu dilunaskan.” (Riwayat Ahmad)

Bagaimana baik sekalipun seseorang yang berhutang, ia tidak di masukkan ke dalam syurga Allah sehingga hutangnya dapat dilunaskan. Ibadahnya kuat sentiasa Qiyamullail dan peribadinya soleh, tetapi disebabkan hutang ia masih tergantung dan segala amalannya disedut bagi melangsaikan hutangnya. Cuba kita bayangkan kalau hutang kita sebanyak RM 10.000.00 ibadah kita apabila ditimbang sebanyak 100 pahala, habis semua disedut bagi membayar hutang yang ada, hutang masih berbaki dan amalan kita habis disedut, mati juga tetap masuk di dalam neraka Allah sebab banyak dosa yang telah kita lakukan di dunia.

Nafkah Keluarga

Setiap orang mempunyai amanah dan tanggungjawab bagi memberikan nafkah kepada keluarganya. Memberikan perlindungan, pakaian, pendidikan, makan minum dan sebagainya. Jika kita gagal memberikan nafkah, bererti kita sudah mengabaikan amanah Allah. Firman Allah yang bermaksud :

“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap Iaitu bagi orang Yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara Yang sepatutnya. tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan Yang tersebut (jika si bapa tiada). kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu Dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) Yang kamu mahu beri itu Dengan cara Yang patut. dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua Yang kamu lakukan”. (Al-Baqarah : 233)

Berdasarkan dalil Al-Quran ini, wajib kepada ketua keluarga menyediakan nafkah atau perbelanjaan kepada isteri dan anak-anaknya. Bagaimana kalau berlaku kematian, lumpuh, penyakit keritikal? Sudah pasti waktu ini kita tidak boleh bekerja, mungkin kita akan diberhentikan kerja. Pekerja swasta mungkin dalam masa tiga bulan selepas mengalami musibah. Penjawat Awam mungkin dalam masa setahun, jika perkhidmatan kita melebihi 20 tahun, bolehlah kita dapat pencen separuh gaji (kalau tak silap saya).

Semasa itu juga anak-anak bersekolah dan ada yang telah melanjutkan pengajian ke peringkat universiti. Kos pengajian makin meningkat, kos sara hidup makin meningkat, duit simpanan hanya ada sedikit sahaja sekitar RM 50.000.00 ke bawah. Hutang pula banyak dan perlu dilunaskan, mungkin isteri kita pada waktu itu bertanggungjawab untuk membayar hutang kita. Banyak lagi bebanan dan penderitaan yang perlu ditanggung oleh ahli keluarga kita.

Cuba anda bayangkan, kalau situasi ini semua berlaku kepada keluarga anda, waktu itu baru anda terpikir dan semasa itu rungsing memikirkan pendapatan keluarga, emosi makin meningkat dan pada masa itu juga anak-anak terpaksa bekerja dan mungkin ada yang berhenti dari sekolah untuk bekerja membantu isteri kita mencari duit bagi menampung kos rumahtangga. Waktu itu juga syaitan memainkan peranan menghasut kita perkara yang bukan-bukan seperti “isteri kerja sehingga lewat malam, mungkin ada lelaki lain”. Keluarga mertua menghasut isteri kita supaya mohon pasah dan banyak lagi kemungkinan yang akan berlaku.

Harta Dan Wang Simpanan

Apabila berlaku kematian segala harta dan akaun simpanan kita akan dibekukan oleh pihak yang berwajib seperti pihak bank dan sebagainya. Ahli keluarga kita tidak boleh mengeluarkan dan menjual satu pun harta peninggalan kita. Boleh kita keluarkan atau jual harta kita setelah selesai urusan mengagihan harta. Saya difahamkan masa pengurusan tersebut sekurang-kurangnya enam bulan dan boleh jadi lewat lagi dari masa tersebut. Ketika itu ahli keluarga kita terpaksa berhutang dengan bank dan sebagainya bagi menampung kos sara hidup dan kos pengebumian kita.

Wang simpanan tidak banyak, yang ada hanya cukup untuk anak sekolah sahaja. Untuk kos keluarga isteri perlu bekerja. Apa sahaja kerja yang ada terpaksa isteri terima walaupun bergaji rendah bawah dari RM 1000.00. Wang simpanan kita pada waktu itu juga dibekukan oleh pihak bank kerana ia menjadi harta pusaka. Tidak malukah kita kepada keluarga mertua dan Allah SWT di atas sikap tidak bertanggungjawab kita kepada keluarga. Semasa waktu akad nikah, semuanya kita janji akan memberikan kesenangan dan tidak akan menyusahkan ahli keluarga kita. Disebabkan pengabaian kita, pelajaran anak tidak menentu, murung dan terpaksa sibukkan diri mencari kerja sambilan bagi menampung kos pengajiannya. Pelajarannya makin merosot, sekolah rajin cuti, bila datang sekolah sering tidur di dalam kelas disebabkan penat melakukan pekerjaan sambilan.

Simpan Emas, perlu kita ingat.. zaman sekarang dunia berurusan dengan mata wang kertas, bukan lagi dengan nilaian emas. Jadi mahu tidak mahu, emas itu perlu dicairkan menjadi nilaian wang kertas. Semasa hendak menjual emas, pihak bank atau kedai emas mempunyai cas dan nilaiannya menjadi susut sebanyak 12% dari harga emas semasa. Kenalah waktu itu, baru kita beli atau nilaian emas susut. Maka sudah tentu kita menjadi rugi…

Kewajipan Mengambil Takaful

Berpandukan hujah di atas, maka perlulah kita mengambil takaful mengikut keperluan semasa, bukan ambil ikut nafsu. Kebanyakkan orang sekarang ambil takaful mengikut nafsu, semua manfaat hendak diambil olehnya. Bila banyak manfaat kita ambil, kos caruman juga makin tinggi dan bukan semua manfaat kita gunakan sehingga tamatnya kontrak. Jadi di situ kita telah rugi, duit kita habis begitu sahaja. Sebelum ambil wajib kita fahami dahulu, jika tidak faham takut ia menjadi fitnah dan akadnya menjadi tidak sah. Sebab itulah setiap agen perlu pakar dan perlu dalami betul-betul asas takaful dalam muamalah Islam. Bukan main jual sahaja untuk mendapatkan komisyen dan target tahunan.

Ini sering terjadi kepada para agen (wakil) takaful hanya pandai membicarakan polisi sahaja dan tidak mendalami konsep asas di dalam takaful tersebut. Sebab itulah ramai di luar sana hanya tahu polisi sahaja tetapi tidak tahu mana yang lebih penting dan mana yang tidak penting. Kadang-kadang orang yang ada takaful pun tidak tahu apa yang dia ambil. Bila Tanya ada takaful? Beliau jawab ada, Macam mana cover dia? Entah tidak tahu tetapi ada simpanan. Hal inilah yang menyebabkan mereka yang menjadi ahli takaful apabila polisinya matang (habis kontrak) terkejut duit yang dapat balik hanya sedikit bukan semua dari apa yang mereka bayar. Dari sinilah mereka menuduh takaful bohong dan sama dengan insuran, tidak perlu ada pun tak apa sebab semuanya bohong belaka. Sebenarnya bukan operator takaful yang bohong, tetapi agen yang menjualnya berbohong dan tidak menceritakan perkara yang sebenarnya, kerana takut orang tidak mengambil takaful.

Jadi rumusan yang dapat diambil, takaful yang dijual oleh para agen diluar sana tidak menepati hukum muamalat yang telah ditetapkan seperti rukun jual beli yang terdiri daripada penjual, pembeli, barang yang dibeli dan akad. Semua ini mesti berlaku dengan jelas dan tidak ada perkara yang terselindung, bila ada akat jual beli itu tidak terlaksana, maka jual beli itu menjadi haram. Cara menpromosikan takaful tidak boleh sama dengan menjual insuran konvensional, kerana dia boleh mengundang fitnah seperti yang ada di lapangan sekarang. Agen itu perlu memperjelaskan satu persatu dari pada asas takaful, keperluan mengambilnya, komitmen orang (hutang, nafkah), kemudian tunjukkan ilustrasi kepada klien agar ia jelas dan terang apa yang dia ambil. Tidak boleh ada konsep paksaan, jika prospek tidak mahu, anda tidak boleh memaksa dan hanya boleh ingatkan dia tentang keperluannya sahaja seperti konsep berusaha,bertawakal dan berdoa. Kalau semua ini cantik penerangannya, maka sudah pasti ia tidak boleh mengundang fitnah seperti yang ada sekarang iaitu “takaful dan insuran sama sahaja.”

Lihat Sambungan siri 2, Klik Di Sini