14 juta rakyat tiada polisi insurans nyawa
Kuala Lumpur: Kira-kira 14 juta atau 44 peratus rakyat negara ini masih tidak memiliki polisi insurans bagi melindungi nyawa dan keluarga mereka.
Perkara itu didedahkan oleh Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), selepas mereka menjalankan kajian berhubung perkara berkenaan sejak tahun lalu.
Presiden LIAM, Vincent Kwo, berkata kajian itu menunjukkan hanya 56 peratus rakyat yang mempunyai polisi insurans merangkumi insurans hayat dan perubatan.
Katanya, industri insurans harus bekerjasama untuk memastikan 75 peratus rakyat memiliki polisi insurans di bawah Pelan Transformasi Ekonomi pada 2020.
“Pihak industri perlu menggalakkan orang ramai membeli insurans kerana ia adalah satu keperluan dan harus mewujudkan lebih banyak kesedaran serta membuat promosi mengenai produk mereka.
Cari jalan pasar produk
“Kita juga perlu mencari jalan untuk memasarkan produk insurans ke kawasan pedalaman dan separa bandar yang tidak mempunyai akses untuk mendapatkan insurans hayat.
“Bagaimanapun, saya berpendapat industri ini akan berkembang dalam tempoh tujuh tahun sejajar peningkatan pendapatan perkapita,” katanya pada sidang media selepas pembentangan Kajian Jurang Perlindungan LIAM-UKM 2012/2013, di sini, semalam.